KUALA LUMPUR: Sejumlah 38 projek pembinaan bangunan tambahan untuk sekolah pendidikan khas (SPK) diluluskan melalui Belanjawan 2026, dengan semuanya kini dalam fasa perancangan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata kementerian juga menerima kelulusan lapan pembinaan SPK baharu yang diluluskan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), RMK12 dan RMK13.
"Pembangunan infrastruktur fizikal dan kebajikan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) antara fokus bagi menampung keperluan peningkatan enrolmen pelajar kategori berkenaan.
"(Selain projek dinyatakan di atas) 80 projek pembinaan bangunan baharu atau tambahan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut diluluskan sepanjang RMK12 dengan lima daripada sudah siap sepenuhnya, manakala 22 lagi sedang dibina dan fasa prabina (53)," katanya menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) di Dewan Rakyat.
Menurut Kah woh, KPM memanfaatkan Sistem Binaan Berindustri Modular bagi mempercepat penyediaan kemudahan infrastruktur, di mana melalui kaedah ini 40 kelas PPKI di 10 sekolah dibina pada 2025, kini mula beroperasi.
"Usaha ini diteruskan dengan pembinaan 241 kelas PPKI di 46 sekolah, dijangka siap pada 2026 dan sedia beroperasi tahun berikutnya," katanya.
Bagi keperluan pengisian guru pendidikan khas, Kah Woh berkata 95.8 peratus atau 21,314 daripada 22,254 jawatan guru pendidikan khas di seluruh negara sudah diisi, setakat hari ini.
"Seramai 1,055 orang guru pendidikan khas baharu sudah mengisi kekosongan perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG9 di sekolah seluruh negara, antara 2023 hingga Julai 2026.
"Seramai 664 daripada jumlah berkenaan adalah guru pendidikan khas di sekolah rendah dan 391 lagi di sekolah menengah," katanya.
Mengenai jumlah MBPK, Kah Woh berkata, seramai 161,891 murid berdaftar di institusi pendidikan KPM sehingga 31 Mei lalu, dengan 141,545 daripadanya berada dalam kategori masalah pembelajaran.
Pecahan jumlah MBPK masalah pembelajaran mengikut subkategori ialah autisme (53,169); intelektual (39,254); masalah pembelajaran spesifik (24,148); kecelaruan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (13,337); Sindrom Down (4,501); lewat perkembangan global (3,741) dan lain-lain (3,395).
"MBPK kategori masalah pembelajaran boleh mengikuti pendidikan, sama ada melalui Program Pendidikan Khas di SPK, PPKI atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).
"Sebanyak 7,406 sekolah seluruh negara melaksanakan Program Pendidikan Khas, sehingga 31 Mei lalu.
"Jumlah ini merangkumi 35 SPK, diikuti 2,907 sekolah melaksanakan PPKI dan 4,406 sekolah melaksanakan PPI," katanya.
























