KUALA LUMPUR : Lebih 90 peratus rakyat Malaysia yang dikesan positif dadah selepas pulang dari Thailand melalui pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah membabitkan golongan belia berusia antara 19 hingga 40 tahun.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata dapatan itu berdasarkan data analisis mengikut kumpulan umur bagi kes positif yang direkodkan sepanjang suku pertama tahun ini bermula Januari hingga Mac lalu.
"Daripada 169 kes positif yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama itu, sebanyak 164 kes membabitkan individu berusia antara 19 hingga 40 tahun.
"Baki lima kes pula membabitkan seorang individu berusia bawah 18 tahun dan empat individu berumur antara 41 hingga 50 tahun," katanya kepada BH, hari ini.
Ruslin berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, Unit Antidadah Sempadan (UAS) menjalankan 438 saringan ujian air kencing terhadap rakyat Malaysia yang pulang melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam.
"Daripada jumlah itu, seramai 235 individu atau 54 peratus didapati positif dadah.
"Dari segi pecahan jantina, 208 kes membabitkan golongan lelaki, manakala 27 lagi wanita," katanya.
Ruslin berkata, ketamin direkodkan sebagai dadah yang paling banyak dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, mewakili 114 kes daripada keseluruhan 235 kes positif bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
"Ketamin ini adalah dadah rekreasi yang sepatutnya berfungsi sebagai bahan bius penenang dalam bidang perubatan tetapi disalahgunakan secara meluas untuk tujuan hiburan.
"Selain ketamin, dadah sintetik jenis metamfetamin atau syabu adalah bahan kedua tertinggi yang dikesan, diikuti dadah jenis MDMA atau ekstasi," katanya.
Ruslin berkata, pergerakan masuk individu yang positif dadah itu dikesan meningkat secara mendadak pada setiap kali musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan hari raya, selain pada waktu cuti hujung minggu yang panjang.
"Kebanyakan individu terbabit memasuki Thailand atas tujuan pelancongan, membeli-belah dan berhibur, dengan sebahagian besar daripada mereka memilih bermalam di sana.
"Pemeriksaan rawak mendapati pengembara yang ditahan ini datang dari pelbagai lokasi yang jauh termasuk dari Lembah Klang seperti Kuala Lumpur dan Klang, Pantai Timur, malah hingga ke kawasan selatan tanah air dengan memandu kenderaan sendiri.
"Laluan di Bukit Kayu Hitam kekal sebagai pintu masuk utama yang mencatatkan jumlah pergerakan keluar masuk paling tinggi, diikuti Rantau Panjang," katanya.
Ruslin berkata, pihaknya kini berdepan ancaman penularan dadah jenis baharu yang dikenali sebagai 'bahan psikoaktif baharu' (NPS) yang mana sindiket dadah sentiasa mengubah suai kandungan kimia dadah sintetik, sekali gus menyukarkan proses pengesanan awal melalui ujian air kencing biasa dalam tempoh tertentu.
"Bagi mendepani cabaran itu, beliau berkata, AADK sentiasa memperoleh peralatan pengujian moden yang ada di pasaran, termasuk penggunaan strip ujian khas yang mampu mengesan dadah jenis berbahaya seperti Fentanyl.
"Selain memperkasakan teknologi, AADK turut memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi keselamatan sempadan yang lain bagi memastikan kawalan pintu masuk negara sentiasa bersepadu," katanya.
























