KOTA TINGGI: Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak akan terjejas meskipun diterajui gabungan politik berbeza kerana peranan serta tanggungjawab kedua-duanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mana-mana kerajaan yang diberi mandat rakyat perlu saling menghormati serta bekerjasama bagi memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
"Seperti yang dinyatakan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), dalam Perlembagaan memang ada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab memastikan negara dan negeri terus membangun.
"Kerjasama itu sudah ditetapkan dalam Perlembagaan. Sesiapa yang menjadi kerajaan Persekutuan perlu dihormati oleh kerajaan negeri dan begitu juga sebaliknya.
"Jadi (rakyat) jangan bimbang. Walaupun kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan datang daripada gabungan yang berbeza, ia tidak menjadi masalah," katanya pada sidang media selepas program Ziarah Kasih di Felda Pasak, di sini, hari ini.
Mengulas tindakan parti lawan yang menjadikan keputusan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menolak cabaran debat bersama calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik, sebagai modal kempen, Mohamed Khaled berkata keupayaan seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan prestasi dan kemampuan melaksanakan tugas.
"Dr Maszlee itu calon Menteri Besar atau apa? Saya percaya untuk menentukan sama ada seseorang itu layak atau tidak, ia bukan sekadar berdasarkan kebolehan bercakap, tetapi prestasi dan kemampuan melaksanakan tugas.
"Ramai orang pandai bercakap, tetapi tidak mampu melaksanakannya. Kita juga tidak mahu rakyat membuat pertimbangan memilih kerajaan Johor hanya berdasarkan satu sesi debat semata-mata.
"Banyak lagi perkara yang perlu dinilai secara menyeluruh," katanya.
























