BH Online
Ringkasan Berita

RM51.4 bilion hutang, komitmen 1MDB telah dan masih ditanggung kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga 30 Jun lalu termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.
RM51.4 bilion hutang, komitmen 1MDB telah dan masih ditanggung kerajaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membayar RM42.5 bilion hutang dan komitmen 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga 30 Jun lalu termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman dan operasi, serta komitmen lain.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata kerajaan juga masih bertanggungjawab menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.

Beliau berkata sukuk ini meliputi bayaran prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion, yang akan matang pada tahun 2039.

Ini bermakna, secara keseluruhan tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah RM51.4 bilion.

"Setakat ini, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion.

"Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada pada masa hadapan, kerajaan masih terpaksa menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah keseluruhan hutang 1MDB ditanggung dan sudah dibayar kerajaan, selain dana serta aset diseleweng yang sudah diraih semula.

Mengulas usaha kerajaan mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, Chin Tong berkata antara tindakan diambil termasuklah membabitkan pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Datuk Seri Najib Razak, selain saman sivil terhadap beberapa nama lain serta pelbagai institusi kewangan antarabangsa yang terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB..

Jelas beliau, Mahkamah Tinggi pada 25 Disember 2025 menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan denda sebanyak RM11.38 bilion ke atas Najib selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.

"Saman sivil terhadap Rosmah pula bagi mendapatkan kembali AS$380 juta ganti rugi berhubung dana dari 1MDB yang digunakan untuk membeli barangan mewah termasuk beg tangan dan barangan kemas, manakala Pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Low Taek Jho atau Jho Low yang menjadi dalang utama penyelewangan 1MDB, dengan nilai tuntutan sivil bernilai AS$3.78 bilion.

"Untuk saman sivil terhadap Tarek Obaid dan Patrick Mahoni yang terlibat kes penyelewengan 1MDB, mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland turut menjatuhkan hukuman terhadap kedua-duanya serta mengarahkan bayaran ganti rugi AS$1.75 bilion kepada 1MDB," katanya.

1MDB jejas reputasi, kredibiliti Malaysia

Dalam pada itu, Chin Tong menegaskan hakikatnya skandal 1MDB bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan, malah telah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.

Isu ini, katanya mendapat liputan meluas media global, mencetuskan siasatan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan di beberapa negara serta melibatkan pelbagai prosiding mahkamah rentas sempadan.

"Keadaan ini memberi kesan negatif terhadap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem tadbir urus, integriti institusi awam dan pengurusan kewangan negara.

"Reputasi negara yang terjejas turut memberi cabaran kepada usaha kerajaan untuk memperkukuh keyakinan pelabur, meningkatkan daya saing ekonomi serta mengekalkan kepercayaan pasaran terhadap institusi dan dasar fiskal negara," katanya.

Atas sebab itu, beliau berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha sedaya upaya memperkukuh tatakelola baik pentadbiran negara bagi memulih semula keyakinan dunia terhadap Malaysia.

"Contohnya, kita telah berjaya mencipta prestasi pelaburan diluluskan dan perdagangan tertinggi dalam sejarah serta kedudukan indeks daya saing dunia yang bertambah baik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan