KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan memutuskan untuk tidak lagi mempertimbangkan sebarang perolehan pertahanan daripada Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) kepada negara ini.
Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dipersetujui Kabinet selepas kementeriannya mengemukakan cadangan berkenaan, manakala kemungkinan memperluaskannya kepada kementerian lain masih diteliti.
"Kerajaan bersetuju supaya Kementerian Pertahanan tidak lagi membeli perolehan daripada negara Norway dan perkara itu sama ada akan diperluaskan, Kabinet masih lagi meneliti sama ada ia meliputi pembelian-pembelian daripada kementerian lain.
"Namun yang pastinya, apabila mana-mana kontrak yang membabitkan Norway tamat, kerajaan mungkin tidak akan mendapatkan khidmat dan menyambung kontrak-kontrak itu.
"Ini satu tindakan yang saya percaya sangat betul dan tepat kerana Norway seolah-olah tidak menghormati negara kita. Lebih-lebih lagi kontrak itu dah ditandatangani, dibayar dan sepatutnya kita menerima penghantaran, tetapi lesen eksport itu dibatalkan pada saat-saat akhir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Ziarah Kasih di Felda Pasak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata alasan diberikan Norway berhubung pembatalan lesen eksport berkenaan adalah tidak meyakinkan apabila mendakwa sistem peluru berpandu itu hanya untuk dijual kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata pembatalan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan Malaysia walaupun kontrak perolehan NSM telah ditandatangani sejak 2018.
"Norway lakukan secara unilateral tanpa pun memaklumkan kepada kita dan sebab asas pembatalan itu pun pada kita sangat-sangat tidak meyakinkan.
"Kita bukannya baru tandatangan kontrak beli, tetapi kita telah tandatangan kontrak sejak 2018. Kita juga tahu pembelian peralatan ini bukannya macam beli kereta.
"Kita perlu membuat tempahan dan mengambil masa yang begitu panjang untuk disiapkan, tetapi apabila sampai masanya, mereka terus batalkan lesen eksport," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, walaupun perolehan NSM terjejas, kemampuan pertahanan negara khususnya bagi menghadapi ancaman di ruang laut masih boleh diperkukuh menerusi aset sedia ada.
Katanya, Malaysia masih mempunyai pelbagai sistem persenjataan termasuk jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mempunyai keupayaan membawa sistem peluru berpandu udara ke permukaan.
"Saya percaya tindakan kita ini sesuatu yang sangat wajar dilakukan dan berharap rakyat memahami serta memberi sokongan kepada tindakan kita," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak kira-kira RM571.9 juta bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (LCS) baharu.
Susulan pembatalan itu, Malaysia menuntut RM1.06 bilion daripada KDA, merangkumi tuntutan langsung kira-kira RM604 juta iaitu bayaran yang telah dibuat kerajaan.
























