GUA MUSANG: Ketika pekebun durian lain menjadikan spesis Musang King sebagai pilihan jualan, seorang pekebun di Kampung Batu 6, di sini, menjadikan buah jenis D169 atau dikenali sebagai 'Tok Litok' sebagai hasil utama yang mendapat permintaan tinggi.
Mempunyai isi yang pejal, lemak dan manis, durian Tok Litok mempunyai penggemarnya tersendiri apabila Muhamad Rofi Ismail, 59, tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan setiap musim.
Katanya berikutan permintaan tinggi terhadap durian jenis itu, dia tidak menjualnya kepada peraih durian biasa.
Sebaliknya, dia hanya menjual kepada pembeli perseorangan terutama pelanggan tetap yang sanggup datang untuk mengambil sendiri durian di kebunnya.
"Saya sudah mendapat dua tan durian jenis ini bagi musim ini yang dijual kepada pembeli perseorangan terutama pelanggan tetap atau penggemar.
"Namun hasil yang diperoleh masih tidak mampu menampung permintaan kerana ia mempunyai rasa yang berbeza berbanding durian kampung selain mempunyai penggemarnya tersendiri.
"Sejak bermulanya musim durian kali ini setiap setiap hari saya menerima permintaan antara 100 hingga 200 kilogram (kg) durian ini. Pada awal musim saya menjualnya pada harga RM15 sekilogram dan sekarang dihujung musim harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram," katanya ketika ditemui, di kebunnya, di sini.
Malah, durian jenis itu ada penggemarnya sendiri apabila belum sempat buah luruh sudah ada yang menempahnya.
Dia mengusahakan kebun seluas kira-kira 1.2 hektar yang ditanam dengan 25 pokok durian Tok Litok yang kini berusia 30 tahun.
"Pada kemuncak musim, hasil yang diperoleh mencecah 300 kg sehari dan penghujung musim sekitar 100 kg hingga 200 kg sehari.
"Pada pertengahan musim, apabila berlaku lambakan buah durian, Tok Litok masih boleh dijual dengan harga RM10 sekilogram.
"Tanam durian Tok Litok memang berbaloi dan saya tidak pernah rugi menanam durian jenis ini. Pokok durian Tok Litok yang ditanam ini sudah berusia 30 tahun apabila pada awal pembukaan kebun saya sudah memilih untuk menanam pokok durian ini," katanya.
Tambahnya lagi dia mengambil benih pokok durian Tok Litok di Kampung Jelatok, Tanah Merah dan ada dua jenis Tok Litok iaitu kulit hijau dan satu lagi berwarna kemerah-merahan serta kelabu tetapi rasanya sama.
























