KOTA BHARU: Suspek utama dalam kes kehilangan dua sepupu remaja di Kok Lanas bulan lalu dijangka didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata suspek utama sudah ditahan dan siasatan terhadapnya telah dilengkapkan.
Beliau berkata, empat lagi individu yang ditahan sepanjang siasatan sebelum ini telah dibebaskan dan akan dijadikan saksi pendakwaan.
"Sebahagian daripada mereka terbabit kerana membenarkan suspek menggunakan kenderaan, mengambil gambar serta melihat kejadian.
"Peranan mereka dikategorikan sebagai bersubahat, namun mereka akan dipanggil sebagai saksi dalam kes ini," katanya.
Mohd Yusoff berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja perempuan itu bukan diculik, sebaliknya mengikut suspek secara sukarela selepas berkenalan menerusi media sosial.
"Motifnya seperti kebanyakan kes membabitkan remaja bawah umur.
"Mereka berkenalan melalui media sosial dan bersetuju mengikut individu yang hanya ditemui buat kali pertama.
"Ini bukan kes culik seperti yang disangka pada peringkat awal," katanya.
Pada 24 Jun lalu, polis mengumumkan kes itu berjaya diselesaikan susulan penahanan lima suspek selepas dua remaja terbabit ditemui selamat di sebuah inap desa di Machang.
Siasatan mendapati dua sepupu berusia 15 dan 16 tahun itu meninggalkan rumah secara sukarela bersama dua lelaki yang dikenali menerusi media sosial.
Mereka mengatur pertemuan dengan kedua-dua lelaki terbabit di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu sebelum dibawa ke Machang dan menginap di sebuah inap desa.
Kedua-dua mangsa dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu selepas keluar dari rumah masing-masing di Kampung Baloh, dekat Kok Lanas.
Mereka ditemui selamat dua hari kemudian di inap desa berkenaan, sekali gus melegakan keluarga selepas usaha pencarian secara besar-besaran serta hebahan kepada orang ramai dilakukan.
























