BH Online
Ringkasan Berita

Projek sedia 104,000 lot kubur Islam di KL secara tukar tanah dijangka siap 2029

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan tanah untuk pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diatasi dengan projek pembangunan 104,000 lot kubur yang mampu bertahan sehingga 28 tahun.
Projek sedia 104,000 lot kubur Islam di KL secara tukar tanah dijangka siap 2029

Pembangunan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) mampu menampung unjuran penggunaan sehingga 28 tahun. - NSTP/Foto Hiasan.

KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan tanah untuk pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diatasi dengan projek pembangunan 104,000 lot kubur yang mampu bertahan sehingga 28 tahun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan, berkata projek itu dilaksanakan secara kaedah pertukaran tanah di antara Route Edge Sdn Bhd dan kerajaan.

Katanya, syarikat itu akan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (Lebuhraya SILK) sepanjang 4.34 kilometer dan menyediakan satu tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot PT3458.

"Pembangunan tapak perkuburan ini berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) membabitkan penyediaan tapak kubur sehingga 104,000 lot yang mampu menampung unjuran penggunaan sehingga 28 tahun.

"Selain itu, pihak syarikat juga akan membina kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan kemudahan infrastruktur yang berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hanifuddin berkata, pembangunan tapak perkuburan yang dijangka siap 2029 itu akan diserahkan pengurusannya kepada JAWI.

Katanya, apabila tanah perkuburan itu beroperasi kelak, JAWI bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan proses pengurusan jenazah, termasuk jenazah tidak berwaris serta pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan seperti lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan.

"Ingin ditegaskan bahawa JAWl tidak pernah bercadang untuk menswastakan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan.

"Malahan hartanah yang terbabit dalam projek yang bakal dibangunkan ini masih kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 222.68 ekar," katanya.

Susulan itu, Hanifuddin berharap penjelasan itu dapat memberi kefahaman kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan terhadap isu penyediaan tapak pengebumian jenazah umat Islam yang baharu.

Katanya, ia bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan selaras dengan ruang tanah perkuburan yang semakin berkurangan.

Video Terkini

Berita Berkaitan