KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai asas kukuh untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri halal global, terutama dengan peningkatan sumbangan eksport halal negara yang dilapor meningkat kepada RM68.52 bilion pada 2025.
Selain peningkatan 10.9 peratus itu berbanding RM61.78 juta pada 2024, kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global juga diperakui apabila kekal menduduki tempat pertama dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut berdasarkan State of the Global Islamic Economy Report 2024/2025.
Berdasarkan laporan itu, Malaysia merangkul tempat pertama dalam sektor makanan halal, kewangan Islam, media dan rekreasi, kosmetik dan farmaseutikal serta pelancongan mesra Muslim.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata mengakui eksport halal Malaysia berpotensi besar terus diperkukuh, disokong reputasi pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf, ekosistem industri yang lengkap serta infrastruktur pembangunan halal yang kukuh.
Untuk itu, katanya usaha akan digerakkan melalui pendekatan berteraskan inovasi, penerokaan pasaran baharu, peningkatan nilai tambah produk serta pengukuhan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
"Sumbangan eksport halal Malaysia meningkat daripada RM61.78 bilion pada tahun 2024 kepada RM68.52 bilion pada tahun 2025, terdiri sektor makanan dan minuman, ramuan halal, derivatif minyak sawit, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal serta industri kimia.
"Eksport halal turut menyumbang 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk terus berkembang sejajar dengan pertumbuhan pasaran halal global," katanya melalui jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sama ada potensi eksport halal Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya, memandangkan negara mempunyai reputasi pensijilan halal yang kukuh dan
diiktiraf.
Mengulas strategi untuk 2026, Johari berkata tumpuan akan diberikan kepada peluasan pasaran baharu dan pengukuhan pasaran sedia ada melalui promosi eksport bersepadu, platform perdagangan halal antarabangsa, misi perdagangan, padanan perniagaan, promosi digital dan risikan pasaran.
"Tumpuan turut diberikan kepada pasaran berpotensi tinggi di Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Barat dan pasaran bukan tradisional, disokong kerjasama dua hala serta pelbagai hala bagi menangani isu akses pasaran, halangan teknikal dan pematuhan standard.
"Eksport Malaysia juga mula memasuki beberapa pasaran baharu pada 2025 seperti Kenya, Nigeria, Tanzania, Algeria, Uzbekistan, Togo dan Maghribi, dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus mempergiat program promosi perdagangan, misi perdagangan, penyertaan dalam pameran antarabangsa serta Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bagi menghubungkan syarikat Malaysia dengan pembeli antarabangsa yang berpotensi," katanya.
Peningkatan nilai tambah
Dari aspek peningkatan nilai tambah, beliau berkata tumpuan diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti makanan dan minuman, ramuan halal, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan diri, derivatif kelapa sawit, logistik halal serta teknologi halal.

Pada 2025, katanya eksport makanan dan minuman halal berjumlah RM36.86 bilion, manakala ramuan halal berjumlah RM21.39 bilion.
"Kerajaan akan terus memperkukuh inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi, pembungkusan premium, pembangunan jenama Halal Malaysia, kandungan tempatan dan pengantarabangsaan syarikat halal tempatan bagi meningkatkan daya saing eksport halal negara.
"Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, kerajaan akan terus memaksimumkan manfaat pasaran baharu antaranya melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif & Progresif Bagi Perkongsian Trans -Pasifik (CPTPP), serta yang terkini, Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia - Emiriah Arab Bersatu (MY - UAE CEPA).
"FTA ini akan dapat menangani halangan tarif dengan merancakkan aktiviti promosi eksport ke pasaran-pasaran berkenaan," katanya.
























