BH Online
Ringkasan Berita

Pulau Sibu jangan dipinggirkan, selesaikan isu lesen nelayan

MERSING: Isu pembaharuan lesen nelayan yang masih belum selesai didakwa menyebabkan sebahagian komuniti nelayan di Pulau Sibu terus terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan, walaupun mereka masih bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.
Pulau Sibu jangan dipinggirkan, selesaikan isu lesen nelayan

Suasana kehidupan harian penduduk kampung ketika tinjauan di Pulau Sibu menjelang hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. NSTP/ASWADI ALIAS.

MERSING: Isu pembaharuan lesen nelayan yang masih belum selesai didakwa menyebabkan sebahagian komuniti nelayan di Pulau Sibu terus terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan, walaupun mereka masih bergantung kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.

Nelayan lebih lima dekad, Abdul Kadir Seikh Idrus, 66, berharap kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) memberi perhatian terhadap keperluan komuniti nelayan, terutama bantuan peralatan menangkap ikan dan penambahbaikan kemudahan asas di pulau berkenaan.

Katanya, sepanjang menjadi nelayan di Pulau Sibu, beliau tidak pernah menerima bantuan seperti enjin atau bot bersubsidi secara individu, walaupun ia amat diperlukan bagi mengurangkan kos operasi.

"Kami orang susah, kos nak lupus bot lama terlalu tinggi dan kami tidak mampu. Bot itu pula masih boleh digunakan lagi, jadi disebabkan itulah proses pembaharuan lesen saya tertangguh sehingga kini.

"Saya juga berharap wakil rakyat yang dipilih benar-benar mengambil berat keperluan penduduk pulau tanpa membezakan kawasan daratan dan kepulauan.

"Jika di darat mempunyai pelbagai kemudahan seperti dewan, kami di Pulau Sibu juga mengharapkan kemudahan yang sama," katanya ketika ditemui di Pulau Sibu, semalam.

sibuk1
Suasana kehidupan harian penduduk kampung ketika tinjauan di Pulau Sibu menjelang hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. NSTP/ASWADI ALIAS.

Sementara itu, Seikh Mohamed Seikh Idrus, 56, berharap kerajaan mempermudahkan proses pembaharuan lesen nelayan yang disifatkannya menjadi punca sebahagian nelayan tidak lagi layak menerima bantuan kerajaan.

Beliau berkata, walaupun tidak mempunyai lesen, keadaan memaksanya terus turun ke laut mencari rezeki menggunakan peralatan menangkap ikan yang sudah uzur kerana tidak mampu membeli kelengkapan baharu.

"Bantulah kami, terutama nelayan yang berdepan masalah lesen. Permudahkan proses menghidupkan semula lesen yang tamat tempoh atau bermasalah kerana kami menyara keluarga melalui pekerjaan ini," katanya.

Sementara itu, peniaga, Ainun Rajab, 48, berharap kerajaan terus memberi tumpuan kepada pembangunan Pulau Sibu, khususnya dalam memperkasa sektor pelancongan.

Katanya, walaupun pulau itu kini menikmati kemudahan yang jauh lebih baik berbanding dahulu, jumlah pelancong semakin berkurangan berikutan kos perjalanan ke pulau berkenaan yang semakin meningkat.

"Saya mahu Pulau Sibu dipromosikan dengan lebih meluas supaya lebih ramai pelancong datang dan ekonomi kami (penduduk setempat) dapat terus berkembang," katanya.

Bagi suri rumah, Raubah Ibrahim, 72, kerajaan perlu meneruskan usaha membangunkan Pulau Sibu, termasuk meningkatkan kemudahan asas dan menghidupkan semula sektor pelancongan.

Beliau berkata, jumlah pelancong semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas pandemik COVID-19, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi penduduk yang bergantung kepada sektor pelancongan.

"Keadaannya jauh berbeza berbanding dahulu. Dulu penduduk lebih ramai dan pelancong pun ramai (datang) ke Pulau Sibu... suasananya lebih meriah berbanding sekarang.

"Saya harap pembangunan di Pulau Sibu dapat diteruskan supaya kehidupan penduduk di sini (menjadi) lebih baik nanti (pada masa depan)," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan