BINTULU: Buaya sepanjang lima meter yang dipercayai mempunyai rekod menyerang manusia di Sungai Tatau, tumpas selepas ditembak tepat di bahagian kepala dalam operasi memburu pada jam 3.30 petang hari ini.
Reptilia berkenaan dipercayai menjadi ancaman kepada penduduk setempat sebelum berjaya dikesan pasukan pemburu buaya berlesen yang menjalankan operasi di kawasan terbabit.
Pemburu buaya terbabit, Juni Kung, berkata pihaknya melepaskan tembakan selepas berjaya mengenal pasti kedudukan buaya berkenaan.
"Buaya itu berjaya ditembak tepat di bahagian kepala. Operasi ini dijalankan selepas mengambil kira keselamatan penduduk kerana kawasan berkenaan pernah berlaku serangan buaya terhadap manusia," katanya.
Juni sebagai berkata, operasi memburu reptilia ganas pada hari pertama ini membuahkan hasil apabila berjaya menumpaskan seekor buaya gergasi.
Beliau berkata, operasi memburu dijalankan selama tiga hari dengan menyasarkan kawasan sepanjang Sungai Tatau hingga ke Kuala Tatau bagi mengesan buaya lain yang menjadi ancaman penduduk tinggal berdekatan sungai dan juga nelayan sungai.
"Operasi akan diteruskan dari masa ke masa sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko serangan buaya terhadap penduduk serta pengguna sungai di kawasan berkenaan," katanya.
























