BH Online
Ringkasan Berita

Minit daripada Muhyiddin arah pertimbangkan, bukan untuk meluluskan - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa setiap minit (catatan) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan projek Jana Wibawa, dianggap sebagai arahan yang perlu diambil tindakan dan dipertimbangkan dengan serius.
Minit daripada Muhyiddin arah pertimbangkan, bukan untuk meluluskan - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa setiap minit (catatan) daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan projek Jana Wibawa, dianggap sebagai arahan yang perlu diambil tindakan dan dipertimbangkan dengan serius.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika sesi pemeriksaan semula, Tengku Zafrul berkata, ia kerana Muhyiddin adalah pegawai atasan, iaitu Perdana Menteri ketika itu.

Saksi penting pendakwaan itu berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu, setiap minit (catatan) terbabit bagaimanapun bukan (arahan) untuk meluluskan.

"Lazimnya, pengalaman saya sebagai menteri, minit daripada perdana menteri ialah suatu arahan yang perlu kami ambil tindakan... jika tidak, pentadbiran kerajaan tidak akan dapat berfungsi, bukan?

"Namun, mengambil tindakan tidak bermaksud kita perlu melakukan sesuatu yang tidak betul," katanya.

Tengku Zafrul, 53, dalam keterangan sebelum ini berkata, terdapat catatan minit Muhyiddin dalam surat iringan bagi lima syarikat berhubung Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

Beliau berkata, berdasarkan minit itu, syarikat yang disenaraikan perlu dibuat perolehan secara prakelayakan oleh Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, surat berkenaan menyatakan lima syarikat, iaitu MZ Hakujaya Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd, dan JM Letrik Sdn Bhd.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa dalam kes Jana Wibawa, semua minit daripadanya serta daripada pegawai, memerlukan tindakan susulan dan ia mungkin akan disusuli dengan syor.

Beliau berkata, syor berkenaan kadang-kadang bersetuju dan kadang-kadang tidak bersetuju, yang mana ia bergantung pada punca kuasa.

"Saya akan setuju atau tidak setuju. Jadi, dalam konteks ini di mana perdana menteri adalah pegawai atasan (superior), beliau (Muhyiddin) pegawai atasan saya (ketika itu).

"Kami berada dalam Jemaah Menteri berdasarkan pelantikan beliau, sudah tentu minit itu adalah satu arahan.

"Jadi dalam kes ini, minit beliau adalah untuk mengarahkan saya dan Kementerian Kewangan supaya mempertimbangkan perkara itu, namun bukan arahan untuk meluluskannya," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga dirujuk dengan keterangan beliau sebelum ini bahawa jika perdana menteri memberikan minit supaya tidak perlu mempertimbangkan, maka beliau tidak akan membuat pertimbangan.

Tengku Zafrul menjawab: "Ya, jika beliau memberikan minit (catatan) tidak perlu dipertimbangkan, sudah tentu kami tidak akan mengambil perkara itu untuk dipertimbangkan."

Tengku Zafrul turut dirujuk surat cadangan daripada Muhyiddin yang mengandungi senarai nama 54 kontraktor bagi pelaksanaan 54 projek bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

Beliau menjelaskan walaupun perdana menteri tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk meluluskan kaedah perolehan, tiada apa yang menghalangnya daripada membuat syor.

Katanya, syor boleh dibuat oleh sesiapa saja dan tidak semestinya perlu diikuti oleh Kementerian Kewangan.

"Perdana menteri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan.

"Sesiapa saja boleh membuat syor. Kelulusan adalah perkara yang berbeza," katanya.

Sementara itu bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tengku Zafrul, Datuk Wan Murtadza Wan Mahmud, memberi keterangan bagaimana surat bertarikh 13 November 2020 daripada Muhyiddin yang mengesyorkan 54 kontraktor bagi 54 projek Jana Wibawa, diproses oleh Kementerian Kewangan.

Saksi ke-12 pendakwaan itu berkata, surat berkenaan terlebih dahulu dirujuk kepada Tengku Zafrul yang mencatat minit: 'SBPK, sila ambil tindakan segera', sebelum mengarahkannya memajukan surat terbabit kepada Bahagian Perolehan Kerajaan.

Selepas itu, Wan Murtadza berkata, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menghantar profil kesemua 54 syarikat yang dicadangkan secara berperingkat.

Beliau kemudian menyerahkan dokumen terbabit bersama-sama surat minat (letter of interest) daripada syarikat berkenaan, kepada Bahagian Perolehan Kerajaan untuk dinilai.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, beliau tidak mengetahui bagaimana PMO memilih syarikat berkenaan atau memadankannya dengan projek tertentu.

"Syarikat yang disenaraikan dalam dokumen itu dicadangkan oleh PMO dan bukannya Kementerian Kewangan," katanya.

Wan Murtadza berkata, beberapa daripada 54 syarikat yang disyorkan oleh PMO itu akhirnya gagal melepasi proses penilaian Kementerian Kewangan bawah program Jana Wibawa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

Video Terkini

Berita Berkaitan