KUALA LUMPUR: Enam daerah di Johor dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi ketika hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), berkata hujan diramalkan berlaku di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pontian, Tangkak dan Kulai pada sebelah pagi, manakala Segamat, Kluang, Kota Tinggi serta Mersing dijangka mengalami cuaca cerah.
Bagaimanapun, keadaan cuaca dijangka bertambah baik pada sebelah petang dengan cuaca cerah di kebanyakan kawasan termasuk Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Pontian, Tangkak dan Kulai.
Sebaliknya, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing diramalkan berdepan ribut petir pada sebelah petang.
METMalaysia turut meramalkan suhu minimum sekitar 23 darjah Celsius di semua daerah, manakala suhu maksimum antara 33 hingga 34 darjah Celsius pada hari berkenaan.
Ramalan cuaca khas itu dikeluarkan bagi membantu orang ramai, pengundi dan petugas pilihan raya membuat persiapan sempena hari mengundi PRN Johor.
PRN Johor kali ini membabitkan sebanyak 2.7 juta pemilih layak mengundi di 1,140 pusat mengundi.
Secara keseluruhan, PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
























