KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjangkakan proses pengambilan tanah persendirian bagi laluan di Taman Dato Senu 3 dapat diselesaikan antara tiga hingga empat bulan, tertakluk kelancaran proses kelulusan dan penilaian oleh pihak berkuasa berkaitan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadhlun Mak Ujud, berkata proses pengambilan tanah itu kini sedang diuruskan pihak berkuasa tanah selepas DBKL mengemukakan permohonan kepada pihak berkaitan.
Beliau berkata, proses pengambilan tanah sudah bermula sejak awal Februari lalu termasuk sudah memulakan perbincangan dan permohonan juga sudah dikemukakan kepada pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
"Pengambilan tanah bukan dilaksanakan oleh DBKL, sebaliknya oleh kerajaan melalui proses yang ditetapkan.
"Ketika ini proses mendapatkan kelulusan sedang berjalan sebelum diikuti perwartaan dan pembayaran pampasan," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dan Hari Kolektif Pusat Bandar Kuala Lumpur yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, di sini, hari ini.
Fadhlun berkata, tempoh penyelesaian bergantung kepada kelancaran setiap peringkat proses termasuk penilaian pampasan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta WPKL.
"Kita cuba mempercepatkan proses ini. Jika semuanya berjalan lancar, kita harap dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
"Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada persetujuan pemilik-pemilik tanah terhadap jumlah pampasan yang ditetapkan berdasarkan penilaian rasmi," katanya.
Sebelum ini, isu terbabit menjadi perhatian selepas pemilik tanah persendirian Lot 832 di Taman Dato Senu mengeluarkan notis memaklumkan penutupan Jalan Taman Dato Senu dan sebahagian Jalan Taman Dato Senu 3 bermula 7 Julai.
Menerusi notis bertarikh 29 Jun lalu, pemilik tanah memaklumkan laluan terbabit berada di atas tanah persendirian dan tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak berkuasa, justeru penggunaan oleh orang awam selepas tarikh itu adalah tanpa kebenaran pemilik.
Penutupan laluan berkenaan mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kerana ia adalah laluan utama yang menghubungkan beberapa kawasan perumahan di sekitar Sentul dan Taman Dato Senu, selain mengundang pelbagai reaksi dalam media sosial berhubung kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku.
Sehubungan itu, Fadhlun berkata, pihaknya menasihatkan pemilik tanah untuk bersabar kerana proses pengambilan tanah sedang berjalan dan bukannya tertangguh.
"Saya harap pemilik tanah dapat memberi sedikit masa kerana proses ini sedang diuruskan. Jika mereka dapat bersabar, laluan itu boleh terus digunakan sementara menunggu proses pengambilan tanah diselesaikan," katanya.
























