KUALA LUMPUR: Bank Rakyat dengan kerjasama Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) akan menganjurkan Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026 pada 23 Ogos ini sebagai platform menggalakkan amalan gaya hidup sihat, di samping memperkenalkan lebuh raya baharu itu kepada masyarakat.
Program yang mendapat sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) itu turut bertujuan memperkukuh perpaduan komuniti menerusi aktiviti riadah dalam suasana santai dan inklusif.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, berkata acara itu merupakan kayuhan pertama dianjurkan Bank Rakyat di atas lebuh raya, sekali gus menandakan jalinan kerjasama strategik antara Bank Rakyat dan EKVE.
Beliau berkata, pendaftaran yang dibuka sejak 24 Jun lalu akan ditutup pada 30 Julai ini dengan dua kategori dipertandingkan, Challenge Ride sejauh 60 kilometer (km) dan Community Ride sejauh 30km.
Katanya, kedua-dua kategori terbuka kepada peserta berusia 16 tahun ke atas, manakala peserta di bawah umur 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
"Kami mahu memberi pengalaman kepada peserta meneroka lebuh raya baharu ini. Laluan EKVE menawarkan pemandangan menarik pada waktu pagi selain gabungan laluan mendatar, mendaki dan menurun yang sesuai untuk pelbagai kategori peserta," katanya.
Beliau berkata, pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat turut menikmati kadar yuran penyertaan eksklusif sepanjang tempoh pendaftaran sebagai nilai tambah kepada pelanggan institusi itu.
Setiap peserta berdaftar juga akan menerima kit penyertaan yang mengandungi jersi rasmi acara serta pingat penamat.
"Kami berharap program ini bukan sahaja berjaya dari aspek penganjuran, malah memberi impak sosial kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Bank Rakyat, 'Untuk Semua'," katanya.
Sementara itu, beberapa pelumba profesional disahkan menyertai acara berkenaan, antaranya Harrif Salleh, Izzat Roslan, Aisyah Zubir dan Loh Sea Keong.
Selain acara kayuhan, Ekspo Jualan Bank Rakyat turut diadakan di pekarangan AEON BiG Ampang dengan pelbagai reruai jualan, termasuk reruai Bank Rakyat yang menawarkan khidmat nasihat berkaitan produk dan perkhidmatan kewangan kepada pengunjung.
























