BH Online
Ringkasan Berita

Bukan serangan jantung, MP Terengganu alami keletihan, tersilap makan

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menafikan kejadian beliau hampir pitam ketika berada di Parlimen semalam berpunca daripada serangan jantung, sebaliknya dipercayai akibat keletihan dan tersilap makan.
Bukan serangan jantung, MP Terengganu alami keletihan, tersilap makan

Ahmad Amzad mengalami masalah kesihatan ketika berada di Parlimen pagi semalam bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri serta dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024. - Foto ihsan FB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menafikan kejadian beliau hampir pitam ketika berada di Parlimen semalam berpunca daripada serangan jantung, sebaliknya dipercayai akibat keletihan dan tersilap makan.

Ahmad Amzad berkata, hasil pemeriksaan termasuk Ujian Elektrokardiogram (ECG) dan ujian makmal darah di Institut Jantung Negara (IJN) mendapati keadaan jantungnya stabil.

Beliau berkata, pihak pengurusan IJN mengesahkan masalah kesihatan yang dialaminya ketika menunggu giliran untuk membahaskan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bukan disebabkan serangan jantung.

"Doktor di IJN turut mengesahkan keadaan jantung stabil selepas keputusan ujian makmal darah diperoleh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Amzad mengalami pening dan hampir pitam ketika mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Parlimen sebelum dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.

Beliau kemudiannya dikejarkan ke IJN bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Mengulas keadaan terkini, Ahmad Amzad berkata kesihatannya semakin pulih, namun dinasihatkan berehat sementara di IJN.

"Saya rasa masalah kesihatan yang menyebabkan saya hampir pitam ketika berada di Parlimen bukan disebabkan penyakit jantung, sebaliknya mungkin kerana keletihan dan tersilap makan.

"Doktor di IJN turut mengesahkan masalah itu bukan berpunca daripada penyakit jantung selepas keputusan ujian darah diperoleh," katanya.

Beliau berkata, beberapa program yang dijadualkan minggu ini diminta untuk ditangguhkan buat sementara waktu.

Ahmad Amzad turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai termasuk pengundi di Parlimen Kuala Terengganu yang mendoakan kesembuhannya.

Video Terkini

Berita Berkaitan