KLUANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Dr Ruban Arumugam terpaksa membatalkan keseluruhan jadual kempennya hari ini selepas mengalami sakit tulang belakang yang dipercayai berpunca daripada masalah 'slip disc' berulang.
Dr Ruban berkata, keputusan itu dibuat dengan berat hati selepas mengalami kesakitan sebaik sahaja bangun tidur hari ini.
Beliau sepatutnya melawat pusat pengundian awal dan bertemu orang ramai dj Kampung Gajah dan Kampung Sri Tambak.
"Ini bukan mengungkit, saya risau nanti orang tanya, 'Mana calon kita?' bilamana mereka tidak nampak saya mengedar 'flyer' (risalah) atau di kopitiam untuk berkempen.
"Dengan hati yang berat, saya terpaksa membatalkan semua program saya pada pagi ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau turut memohon maaf kepada pasukan jentera dan orang ramai yang meluangkan masa bertemu dengannya,
Ini kerana katanya, beliau diminta doktor untuk berehat seketika agar keadaan tidak menjadi lebih serius.
"Saya harap dapat kembali pulih secepat mungkin. Walaupun dah selesaikan walkabout di banyak taman dan lokasi, saya masih nak pusing-pusing untuk kali kedua dan ketiga.
"Masih ramai yang ingin saya temui dan santuni sebelum hari pengundian.
"Terima kasih atas setiap doa, mesej dan kata-kata semangat yang diberikan. Sokongan anda benar-benar memberikan kekuatan kepada saya," katanya.
























