KUALA LUMPUR: Jangkaan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengenai kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bakal melonjakkan momentum parti itu di Negeri Sembilan serta mempercepatkan pembubaran Parlimen bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), terus mencetuskan perbincangan dalam kalangan penganalisis politik tanah air.
Walaupun impak kemenangan di Johor diakui mampu mengubah landskap politik, sejauh mana gelombang itu boleh diterjemahkan secara langsung di Negeri Sembilan masih bergantung kepada dinamika penentu yang berbeza.
Impak tak berlaku secara automatik
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi, berpandangan bahawa impak PRN Johor terhadap Negeri Sembilan tidak akan berlaku secara automatik.
"Sekiranya BN mencatat kemenangan besar, ia secara psikologi akan menyuntik semangat tinggi kepada jentera parti dan membentuk persepsi positif dalam kalangan pengundi atas pagar yang cenderung memilih sebuah kerajaan yang stabil," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, mandat yang kukuh di Johor juga berpotensi memberi isyarat perubahan sentimen nasional, sekali gus meningkatkan keyakinan kepimpinan parti untuk mempercepatkan persediaan menghadapi PRU16.
Bagaimanapun, Hussin Yusri menegaskan pengundi di Negeri Sembilan tetap akan membuat keputusan bersandarkan isu tempatan, prestasi kerajaan negeri, dan kualiti calon di kawasan masing-masing.
Pandangan ini turut disokong oleh Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN), Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat, yang bersetuju bahawa kemenangan melebihi 40 kerusi di Johor akan membawa momentum besar ke Negeri Sembilan serta mempercepatkan pembubaran Parlimen.
Meskipun begitu, beliau agak skeptikal dengan unjuran ekstrem Dr Ong yang menjangkakan BN mampu menyapu hingga 53 daripada 56 kerusi.
"Senario itu mungkin berlaku bersandarkan faktor positif seperti patakan tidak rasmi antara BN dan PAS melalui pemulihan Muafakat Nasional tanpa pengumuman yang boleh melenyapkan kerusi BERSATU dan menggugat kedudukan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada BH.
Chin Huat mengingatkan terdapat risiko negatif daripada strategi berkenaan, termasuk isu kebolehalihan undi yang belum pasti memihak kepada BN, ketidakpuasan dalaman UMNO membabitkan isu istana, serta kemungkinan lonjakan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang beralih menyokong PH sekiranya polarisasi kaum meningkat.
Tonik psikologi jika BN menang besar di Johor
Sementara itu, Penganalisis sosio-politik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, melihat kejayaan besar BN di Johor sebagai satu bentuk tonik psikologi yang akan memberikan gambaran bahawa UMNO sedang mengalami kebangkitan semula sebagai pilihan utama pengundi Melayu.
Kemenangan sedemikian bukan sahaja menaikkan moral jentera untuk membawa naratif kestabilan ke Negeri Sembilan, malah memberi tekanan hebat kepada PH untuk menilai semula tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan.
Namun, beliau mengingatkan bahawa landskap politik Negeri Sembilan jauh berbeza dengan Johor kerana negeri itu merupakan medan pertembungan dua tokoh besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Anthony Loke.
"Selain PH mempunyai kubu kuat pengundi bandar dan bukan Melayu di beberapa kawasan DUN teras, BN juga berdepan kerentanan memandangkan lapan daripada 14 kerusi yang dimenanginya sebelum ini adalah dengan majoriti tipis di bawah 700 undi, selain dibayangi isu krisis politik dalaman negeri," katanya kepada BH.
Peratusan keluar mengundi tentukan kemenangan
Mengulas mengenai unjuran pembubaran Parlimen pula, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menegaskan bahawa status kemenangan besar BN di Johor itu sendiri masih menjadi tanda tanya utama yang amat bergantung kepada kadar keluar mengundi.
Beliau menjelaskan bahawa kuasa mutlak untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU16 berada di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh yang demikian, keputusan PRN Johor dipandang lebih kepada sebuah indikator awal atau kayu ukur strategik untuk merangka langkah politik seterusnya, memandangkan masih banyak perkiraan dan dinamika politik semasa yang perlu diambil kira sebelum keputusan besar mengenai masa depan Parlimen diputuskan.
























