BH Online
Ringkasan Berita

Bapa sedia jumpa keluarga suspek tikam anak, tapi...

KUALA LANGAT: Bapa kepada pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting bersedia bertemu keluarga suspek dan berbincang secara baik.
Bapa sedia jumpa keluarga suspek tikam anak, tapi...

Mohd Firuz Ibrahim ketika ditemui media di Hospital Banting. - NSTP/Faiz Anuar

KUALA LANGAT: Bapa kepada pelajar perempuan yang menjadi mangsa tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting bersedia bertemu keluarga suspek dan berbincang secara baik.

Menyatakan kesediaan itu, Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata sebarang pertemuan bagaimanapun bergantung pada situasi semasa memandangkan kes masih dalam siasatan polis.

"Ya saya bersedia untuk berjumpa," katanya ketika ditemui di Hospital Banting, di sini hari ini dan menambah setakat ini tiada sebarang panggilan atau usaha keluarga suspek menghubungi keluarganya.

Ditanya sama ada bersedia memaafkan suspek, Mohd Firuz berkata, pihaknya memerlukan masa untuk berbuat demikian.

"Itu payah nak cerita juga, kena tengok pada keadaan dululah, macam mana. Setakat ini belum lagilah," katanya.

Berkongsi berkenaan perkembangan terkini anaknya, Mohd Firuz berkata, keadaan anaknya dilihat semakin stabil selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam.

"Alhamdulillah, pagi ini keadaannya nampak semakin stabil. Dia kata sudah tak rasa sakit sangat, tetapi masih lagi dalam pemantauan doktor dan jururawat. Tiub di paru-paru masih ada.

"Dalam dua atau tiga hari lagi doktor akan tengok. Kalau darah sudah berhenti dan keadaannya baik, barulah tiub itu akan dikeluarkan Doktor jangka anak perlu menerima rawatan di hospital sekurang-kurangnya seminggu sebelum dibenarkan pulang, bergantung kepada proses penyembuhan luka," katanya.

Katanya, walaupun sudah boleh bercakap, minum dan mengambil makanan ringan, anaknya belum bersedia menceritakan kejadian yang menimpanya.

"Dia masih trauma dan kerap menangis, saya biarkan dia berehat dahulu. Saya tak mahu bertanya banyak-banyak buat masa ini kerana keutamaannya ialah untuk pulih sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, kecederaan tikaman di bahagian belakang menyebabkan anaknya perlu dialihkan dengan berhati-hati ketika menjalani rawatan termasuk proses membersihkan dan menjahit luka.

"Semalam ketika nak cuci luka, ia perlu dilakukan perlahan-lahan untuk rawat bahagian belakang dan jahit semua luka. Memang banyak prosedur yang perlu dibuat," katanya.

Mohd Firuz mengakui sebagai bapa, dia amat sedih melihat keadaan anaknya yang menanggung kesakitan

"Memang sedih sangat. Kami tak pernah pukul dia. Luka kecil pun kami rasa kasihan, inikan pula luka akibat tikaman macam ini. Tapi benda sudah jadi, kami kena terima dengan reda," katanya.

Semalam, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di sini. Suspek yang juga remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan kini direman empat hari bermula hari ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan