TANJUNG PIAI: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan cadangan supaya Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdebat dengan bekas Menteri Pendidikan yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, pihak lawan kini ketandusan isu untuk dijadikan modal kempen selepas gagal mempertikai prestasi pentadbiran kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).
"Mereka sudah tak ada modal, nak debat apa? Nak cakap apa pasal pentadbiran negeri Johor? Menteri Besar mengurus dengan baik, prestasi wakil rakyat pun baik. Bukan standard Maszlee nak berdebat dengan Menteri Besar, debat dengan ketua bahagian sahajalah," katanya.
Ditemui pemberita selepas program sarapan pagi bersama jentera BN di Kukup yang turut dihadiri calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Israk Abdullah, Mohamad berkata, lawan juga cuba mengaitkan jangkaan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak.
"Apa kena-mengena kerajaan negeri Johor dengan pembebasan Datuk Seri Najib? Kerajaan negeri tiada kuasa dalam perkara itu. Kalau ada pun, ia tertakluk kepada kuasa pengampunan yang diperuntukkan mengikut undang-undang. Jadi jangan terkeliru dengan naratif mereka," katanya.
Sementara itu, Mohamad turut mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu selesa dengan sebarang unjuran atau tinjauan yang meramalkan gabungan itu mampu mengekalkan antara 40 hingga 42 kerusi pada PRN Johor.
"Saya tak mahu unjuran yang dibuat agensi seperti Merdeka Center dan lain-lain menyebabkan jentera kita berasa selesa. Terus bekerja, santuni pengundi dan pastikan penyokong kita keluar mengundi seawal mungkin.
"Kita mahu kekalkan kerajaan BN sekurang-kurangnya seperti pada PRN ke-15, kalau dapat lebih, Alhamdulillah," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kempen PRN Johor kali ini turut memperlihatkan tanda-tanda kelesuan dalam kalangan pengundi Cina susulan dakwaan rasa kecewa terhadap beberapa dasar dan polisi yang didakwa membebankan golongan peniaga.
Katanya, berdasarkan maklum balas diterimanya daripada masyarakat Cina khususnya golongan peniaga, ramai meluahkan kekecewaan terhadap keadaan ekonomi dan pelaksanaan dasar tertentu.
"Saya nampak terdapat sedikit kelesuan terutama dalam kalangan masyarakat Cina pada kempen kali ini. Mereka menyatakan kekecewaan kepada kerajaan, khususnya peniaga, kerana dasar-dasar yang dibuat menyebabkan mereka menghadapi banyak kesusahan," katanya.
Mohamad berkata, antara rungutan yang diterimanya ialah pelaksanaan sistem e-invois dan cukai yang didakwa membebankan sehingga ada dalam kalangan peniaga berpendapat sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih baik berbanding gabungan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta e-invois.
"Mereka kata lebih baik GST. Itu kata mereka, bukan saya. GST sekali saja, sekarang ada SST, ditambah pula e-invois," katanya menambah keadaan itu mungkin menyebabkan sebahagian pengundi Cina membuat pilihan politik lebih awal atau memilih tidak keluar mengundi.
























