BH Online
Ringkasan Berita

Burung Macaw bernilai RM400,000 dirampas di Tumpat

TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas lapan burung kakak tua spesis Macaw yang bernilai RM400,000.
Burung Macaw bernilai RM400,000 dirampas di Tumpat

Lapan burung kakak tua spesis Macaw bernilai RM400,000 ditemukan dalam Proton Waja yang dinaiki dua lelaki tempatan ketika ditahan di Jalan Bandar Tumpat. - Foto PGA

TUMPAT: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas lapan burung kakak tua spesis Macaw yang bernilai RM400,000.

Serbuan dibuat di Jalan Bandar Tumpat di sini jam 6.30 petang semalam sebaik mengesan kereta jenis Proton Waja dinaiki dua lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata pemeriksaan terhadap kenderaan itu menjumpai empat sangkar yang mengandungi lapan burung kakak tua jenis Macaw di bahagian tempat duduk belakang dan but.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penama gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan pemilikan burung terbabit.

"Soal siasat awal terhadap seorang daripada lelaki itu, dia mengaku mengambil burung-burung terbabit di Kampung Kelaboran dan menerima upah RM400 bagi penghantaran empat sangkar burung berkenaan.

"Dia turut mengaku bahawa burung-burung itu akan dihantar ke Stesen Bas Kota Bharu sebelum dibawa ke Johor oleh pihak yang belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, kedua-dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Beliau berkata, tangkapan itu menunjukkan bahawa kegiatan penyeludupan hidupan liar masih aktif dan dipercayai menggunakan laluan tertentu di kawasan sempadan bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

Video Terkini

Berita Berkaitan