KUALA LUMPUR: Sekumpulan 17 pelajar mengharumkan nama negara apabila merangkul sembilan anugerah keseluruhan dan membawa pulang 22 pingat dalam pertandingan Koala Excellence Olympiad (KEO) 2026 di Macau, semalam.
Daripada 22 pingat yang dimenangi, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Hartamas, Mukridz Mardzuki paling membanggakan apabila muncul juara keseluruhan Olympiad Sains bagi kategori sekolah rendah.
Disamping itu, murid SK Convent (2) Bukit Nanas, Sarah Isabel Maryam Ahmad Suhael dan pelajar Sekolah Sultan Alam Shah Alfie Rizq Danial Azlan muncul naib juara keseluruhan Olympiad Sains, masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan menengah.
Turut muncul naib juara keseluruhan ialah Ayra Adani Muhammad Aizat dari Kolej PERMATA@Pintar Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Olympiad Bahasa Inggeris.
Lima anugerah tempat ketiga keseluruhan diraih oleh Marvyn Zef Mark Philip yang menang dua kategori iaitu Sains dan Bahasa Inggeris manakala P Prem (Sains), Muhammad Khairul Mauidz Khairul Azman (Matematik) dan AK Shashini (Bahasa Inggeris).
Secara keseluruhan, kontinjen Malaysia membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 11 gangsa.
Pertandingan anjuran KEO dan Miss Man International Group serta diselaraskan di Malaysia oleh Pertubuhan Saintis Muda Malaysia (MYSO), menghimpunkan pelajar dari pelbagai negara dalam Olympiad Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Seni.
Kontinjen Malaysia merangkumi empat pelajar Kolej PERMATA@Pintar Negara UKM, enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz, dua (Sekolah Sultan Alam Shah), tiga (SK Convent (2) Bukit Nanas), serta masing-masing seorang dari SMK Convent Teluk Intan, SK USJ 12, SK Seri Hartamas dan SK Convent Sentul 1.
























