ALOR GAJAH: Pertemuan sulung dua pasukan bola sepak amatur dalam perlawanan persahabatan di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu petang semalam bertukar tragedi apabila seorang pemain maut dipercayai akibat disambar petir manakala pengadil cedera dan seorang selamat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa, R Thanesh, 28, yang juga pemain kelab Rembau Indian Veteran FC dari Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Alor Gajah.
Pemain tuan rumah, Tanjung Minyak FC mahu dikenali sebagai Awe, 41, berkata, ketika kejadian pasukannya sedang menyerang dan dia berada di posisi tengah.
Katanya, perlawanan persahabatan itu dijadualkan jam 5 petang, namun bermula sedikit lewat dalam keadaan hujan renyai disebabkan beberapa pemain tiba lewat.
"Perlawanan separuh masa pertama baru bermula sekitar 15 minit dan penyerang kami, Apai (Mauludin Noor Md Sobry,41) berjaya merampas bola dalam keadaan 50-50 dengan penjaga gol dan menggeleceknya.
"Ketika itulah petir menyambar betul-betul kena pada penjaga gol (Thanesh) hingga rebah bersama pengadil, yang ada berdekatan antara mereka.
"Namun Apai terselamat kerana dia sudah beberapa langkah berlari ke kiri," katanya dihubungi.
Saksi yang masih trauma berkata, sebelum kejadian hanya terdengar bunyi guruh sahaja sebelum tiba-tiba petir menyambar menyebabkan pemain lari keluar padang.
"Saya yang berada di tengah padang pun boleh terasa cahaya petir itu apa lagi mereka yang berdekatan petak penalti.
"Selalu dengar orang cerita atau baca di media sosial, tapi semalam berlaku betu-betul depan mata, memang saya masih terkejut," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mengesahkan pihaknya dihubungi Hospital Alor Gajah pada jam 8.50 malam memaklumkan seorang lelaki dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai disambar petir.
Katanya, mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala pengadil perlawanan dihantar ke hospital menaiki ambulans.
"Seorang lagi pemain yang turut terjejas dilaporkan berada dalam keadaan baik dan tidak mendapatkan rawatan.
"Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati kesan terbakar pada jari kaki sehingga paras paha kiri selain melecur pada bahagian bawah perut sebelah kiri dan kesan kehitaman di belakang badan hingga paras punggung selain telinga kanan berdarah," katanya.
























