KEMAMAN: Seorang bapa maut, manakala dua anaknya parah selepas motosikal ditunggangi mereka dalam perjalanan pulang dari makan malam, terbabit kemalangan di Jalan Kampung Cicar, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, Muhammad Zarol Che Aziz, 29, yang parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak lelakinya, Muhammad Nuh Zaim, 6, dan Muhammad Luth Ziyad, 2, yang membonceng motosikal cedera di kepala serta anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, berkata sebelum kejadian, tiga beranak itu dikatakan menikmati makan malam di sebuah kedai sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke kediaman mereka di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pikap dipandu lelaki berusia 23 tahun.
Katanya, disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu pikap gagal mengelak lalu merempuh bahagian hadapan motosikal mangsa yang menyebabkan mangsa bersama dua anaknya itu tercampak ke atas jalan.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat, manakala dua anak mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya
















