BH Online
Ringkasan Berita

'Saya tekup darah yang banyak keluar di dahi ayah, ajarnya mengucap, tetapi ayah dan ibu pergi jua...' - Anak mangsa

TANJONG KARANG: “Masih terbayang tangan ayah mencengkam erat lengan kanan saya dengan raut wajahnya menahan kesakitan, manakala ibu pula terbaring atas jalan tidak sedarkan diri, namun akhirnya kedua-dua mereka pergi tinggalkan kami,” kata Muhammad Khairul Yasin dari Kampung Sungai Terap, di sini.
'Saya tekup darah yang banyak keluar di dahi ayah, ajarnya mengucap, tetapi ayah dan ibu pergi jua...' - Anak mangsa

Jenazah Yasin dan Sabriah disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Terap pada jam 1 pagi tadi.NSTP/ Amirul Aiman Hamsuddin

TANJONG KARANG: "Masih terbayang tangan ayah mencengkam erat lengan kanan saya dengan raut wajahnya menahan kesakitan, manakala ibu pula terbaring atas jalan tidak sedarkan diri, namun akhirnya kedua-dua mereka pergi tinggalkan kami," kata Muhammad Khairul Yasin dari Kampung Sungai Terap, di sini.

Beliau adalah anak bongsu kepada pasangan suami isteri, Yasin Ismail, 67, dan Sabriah Norman, 63, yang maut kemalangan di Kilometer 52, Jalan Klang-Teluk Intan, berdekatan GiatMARA Tanjong Karang, di sini, petang semalam.

Kejadian pada jam 5.30 petang itu berlaku ketika motosikal Honda Dash dinaiki pasangan warga emas itu memasuki lorong kenderaan laju secara tiba-tiba sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta Perodua Bezza.

Muhammad Khairul, 29, berkata ketika kejadian, ibu bapanya dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Sungai Terap ke pekan Tanjong Karang.

"Saya yang berkebun di belakang rumah mengetahui kemalangan itu menerusi saudara datang ke rumah pada kira-kira jam 6 petang.

"Saya terus ke tempat kejadian dan setiba di lokasi, saya nampak ibu terbaring atas jalan, manakala ayah pula berada di tepi jalan selepas dibantu orang awam keluar dari parit.

"Saya jumpa ayah dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sambil menekup darah yang banyak keluar daripada luka di dahinya," katanya ditemui di kediamannya, di sini.

Muhammad Khairul berkata, ibu dan bapanya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut, namun dimaklumkan doktor kedua-dua mereka gagal diselamatkan.

"Walaupun terkejut dengan kehilangan ini, tetapi kami reda dengan ujian Allah.

"Pesanan arwah ayah dan ibu yang sering mengingatkan supaya solat di awal waktu, selain menjadi individu yang penyabar dan ikhlas, akan terus menjadi pegangan kami," katanya.

Beliau berkata, jenazah ibu bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Terap pada jam 1 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kemalangan membabitkan motosikal Honda Dash dan Perodua Bezza itu dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit memasuki laluan kereta secara tiba-tiba.

"Pemandu kereta melanggar bahagian belakang motosikal dan impak pelanggaran itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng meninggal dunia di Zon Merah Hospital Tanjong Karang.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan