KOTA BHARU: Kekangan kewangan yang dihadapi remaja lelaki, Mohamad Solihin Mohd Nasir untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi panggilan video kira-kira 15 minit pada jam 1 tengah hari tadi, Asyraf Wajdi memberi jaminan akan membantu Mohamad Solihin, 19, memandangkan remaja itu bekas pelajar MRSM Jeli.
Asyraf Wajdi memberi dua pilihan sama ada remaja lelaki itu berminat ingin meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) atau tetap dengan pilihannya untuk ke Universiti Al-Azhar.
"Jika memilih untuk ke (Universiti) Al-Azhar, Solihin perlu mengambil kursus Bahasa Arab dan kami (MARA) akan menguruskannya.
"Harap Solihin tidak terlalu memikirkan masalah yang dihadapi sebab kami akan bantu memandangkan dia bekas pelajar MARA dan juga anak yatim, memang diberi keutamaan," katanya.
Dalam panggilan video itu juga, Asyraf Wajdi cuba menguji hafazan al-Quran Mohamad Solihin secara rambang atau istilah yang selalu digunakan adalah 'tebuk Quran'.
Secara berseloroh, Asyraf Wajdi mencabar jika Mohamad Solihin boleh menyambung bacaan dari Surah Al-Baqarah, remaja itu layak menerima bantuan yang akan diberikan nanti sebelum bacaan ayat suci itu berjaya dibacanya dengan lancar.
Beliau turut menasihatkan Mohamad Solihin agar tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran, solat tahajud serta mengamalkan doa atau zikit Al-Mathurat untuk kelancaran hidup.
"Kalau sudah berjaya suatu hari nanti, Solihin jangan lupakan emak dan adik beradik. Apabila berada di atas, jangan lupakan rumput tempat kita berpijak," katanya.
Sementara itu Mohamad Solihin meluahkan rasa lega kerana masalah kewangan yang dihadapinya bakal hilang apabila mendapat perhatian pihak MARA.
Dia yang dijangka berangkat ke Mesir pada penghujung Ogos ini berkata, jika sebelum ini impiannya untuk melanjutkan pengajian ke Mesir dan bergelar doktor seakan samar tapi kini sudah jelas laluannya.
"Sangat lega kerana dapat perhatian dari datuk (Asyarf Wajdi) dan walaupun diminta untuk ambil kursus Bahasa Arab sekalipun, saya sanggup demi mencapai cita-cita ini," katanya.
























