BH Online
Ringkasan Berita

Subsidi Budi Diesel RM23 juta sejak 27 Jun lalu

KOTA KINABALU: Sebanyak 336,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan menerusi pelaksanaan awal BUDI Diesel sejak 27 Jun hingga 4 Julai lalu membabitkan pembelian 12.6 juta liter diesel dengan subsidi melebihi RM23 juta ditanggung kerajaan MADANI.
Subsidi Budi Diesel RM23 juta sejak 27 Jun lalu

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meninjau pengguna mengisi minyak ketika Program Turun Padang BUDI Diesel @ Shell bertempat di Stesen Minyak SHELL Wisma Innoprise - Foto NSTP/RAFIQAH DAHALI

KOTA KINABALU: Sebanyak 336,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan menerusi pelaksanaan awal BUDI Diesel sejak 27 Jun hingga 4 Julai lalu membabitkan pembelian 12.6 juta liter diesel dengan subsidi melebihi RM23 juta ditanggung kerajaan MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan yang direkodkan itu merangkumi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter sepanjang tempoh akses awal sebelum harga diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula pelaksanaan penuh BUDI Diesel pada 1 Julai lalu.

Menurutnya, pelaksanaan BUDI Diesel bukan bertujuan menafikan bantuan kepada rakyat yang layak, sebaliknya memastikan subsidi kerajaan disalurkan mengikut keperluan sebenar dan menutup ruang ketirisan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata pihaknya akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel serta meneliti maklum balas daripada rakyat dan pemain industri bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak, bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan ketirisan terus dapat dikekang.

Pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan MyKad sebagai kaedah pengesahan kewarganegaraan dan kelayakan adalah bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Katanya, mekanisme itu turut dilaksanakan pihaknya dalam memastikan individu bukan warganegara atau pihak yang tidak layak membeli diesel pada harga tanpa subsidi.

"Subsidi bersasar adalah manfaat kerajaan untuk rakyat Malaysia yang layak. Pada masa yang sama, penyasaran subsidi penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan bantuan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan