BH Online
Ringkasan Berita

Pertikaian peluru berpandu: Malaysia hati-hati taktik melengahkan tuntutan

KOTA TINGGI: Syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) meminta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi menyelesaikan tuntutan RM1.06 bilion susulan pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pertikaian peluru berpandu: Malaysia hati-hati taktik melengahkan tuntutan

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan penduduk selepas majlis penyampaian sijil kursus jenazah sempena Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Masjid Jamek Al-Faizin, Felda Air Tawar 2 di sini, hari ini - Foto NSTP/ MAHAIZURA ABD MALIK

KOTA TINGGI: Syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) meminta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi menyelesaikan tuntutan RM1.06 bilion susulan pembatalan perolehan peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun menegaskan, kementerian tidak akan membenarkan perbincangan itu dijadikan alasan atau taktik untuk melengah-lengahkan proses penyelesaian tuntutan berkenaan.

Katanya, kementerian sentiasa berwaspada terhadap sebarang cubaan yang boleh menjejaskan proses berkenaan.

"Pihak syarikat iaitu KDA ada memohon untuk berbincang dengan kita tetapi walaupun kita kata boleh berbincang, kita tidak mahu ia dijadikan sebagai satu taktik untuk melengah-lengahkan proses tuntutan yang dibuat sebelum ini.

"Kita sentiasa sedar dan berwaspada jika ada taktik sedemikian yang digunakan supaya kita tidak terperangkap," katanya selepas menghadiri Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di FELDA Air Tawar 2, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, satu pasukan penilai dianggotai pegawai TLDM sudah ditubuhkan bagi mengenal pasti sistem peluru berpandu terbaik daripada empat negara bagi menggantikan NSM buatan Norway.

Katanya, empat pilihan itu membabitkan Turkiye, Korea Selatan dan dua negara di Eropah.

Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia termasuk sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang KDA, kontrak perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai EUR124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Susulan pembatalan itu, Malaysia mengemukakan tuntutan RM1.06 bilion terhadap KDA termasuk tuntutan langsung EUR129.86 juta (kira-kira RM604 juta) iaitu bayaran yang sudah dibuat kerajaan.

Ia turut merangkumi tuntutan tidak langsung EUR96.26 juta (kira-kira RM448.1 juta) membabitkan implikasi kos serta kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan