ALOR SETAR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendahului senarai penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di sini, hari ini.
Mereka dianugerahkan Darjah Dato' Seri Setia Pahlawan Yang Amat Dihormati (SSPK) yang membawa gelaran Datuk Seri Pahlawan.
Kurniaan Orang Besar Enam Belas dianugerahkan kepada bekas Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang membawa gelaran Datuk Jaya Perkasa dan kepada Timbalan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Datuk Wira Tan Hong Eng yang membawa gelaran Datuk Jaya Dermawan.

Kurniaan Orang Besar Tiga Puluh Dua pula dianugerahkan kepada bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, Datuk Mohamad Che Nai yang membawa gelaran Datuk Johan Bakti dan bekas Senator, Datuk Seri Boon Som Inong yang membawa gelaran Datuk Biram Jaya.
Darjah Dato' Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Zubir Ahmad.
Seramai empat penerima Darjah Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Radzuan Osman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Datuk Abdul Gafar Yahya; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dr Abdul Salim Tahudin.
Darjah Dato' Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk pula dianugerahkan kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.

Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) dianugerahkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Seramai sembilan menerima Setia Diraja Kedah (SDK) iaitu Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Syeikh Mohamad Subhi Abdullah; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Maznim Ismail dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Ir Mohd Fisal Ismail.
SDK turut dianugerahkan kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Zulkifki Romli; Timbalan Pengarah Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Jamaliah Omar dan Ketua Jabatan Pembedahan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB), Dr Adam Mohd Zakaria.
Turut menerima SDK ialah Pakar Perunding Kanan Bedah Umum HSB, Dr Manisekar K Subramaniam; Pengerusi Real Estate & Housing Developers Association (REHDA) Kedah/Perlis, Yeoh Su Guan dan Presiden Bismi Empire Sdn Bhd, Jaffri Ahmad.
























