BH Online
Ringkasan Berita

Langkawi bukan Phuket atau Bali - Sultan Kedah

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan bertindak atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.
Langkawi bukan Phuket atau Bali - Sultan Kedah

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberikan tabik hormat ketika memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-84 di Dataran Medan Bandar. - Foto NSTP/ Wan Nabil Nasir

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan bertindak atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan imej serta reputasi Pulau Langkawi.

Baginda bertitah, Pulau Langkawi adalah aset strategik negeri Kedah dan negara yang perlu dipelihara serta dibangunkan secara lestari supaya terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

"Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya seperti Phuket atau Bali.

"Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Kedah Tahun 2026 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan negeri dan semua pihak berkaitan perlu memastikan setiap usaha pembangunan di Langkawi dilaksanakan secara terancang tanpa menjejaskan identiti serta keunikan pulau peranginan berkenaan.

Kaji semula kadar pajakan Pulau Pinang

Selain itu, baginda turut mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian berkenaan.

"Bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kerajaan Beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai.

"Namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya.

"Beta ingin memperingatkan akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, hendaklah dihormati oleh semua pihak," titah baginda.

Jangan halang Kedah urus REE

Sementara itu, Sultan Kedah turut mahu Kerajaan Persekutuan memberi kerjasama dan memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri Kedah termasuk dalam menguruskan unsur nadir bumi (REE).

Titah baginda, hak dan kuasa negeri untuk mengurus serta meneroka sumber hasil bumi hendaklah dihormati dan dipermudahkan.

Pada masa sama, Sultan Sallehuddin memandang serius kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit.

Video Terkini

Berita Berkaitan