BH Online
Ringkasan Berita

Suami hilang sebelah tangan disedut mesin kayu, isteri buntu fikir masa depan

PASIR MAS: Seorang suri rumah buntu memikirkan masa depan keluarga selepas suami yang menjadi tulang belakang keluarga hilang tangan kanan dalam kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang kayu di Batu Karang, di sini, minggu lalu.
Suami hilang sebelah tangan disedut mesin kayu, isteri buntu fikir masa depan

Muhammad Aidi Ilham Mohd Sakri dan isteri, Nur Syafawati Roslan bersama seorang daripada anak mereka di rumah di Kampung Chasi, Pasir Mas, Kelantan. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

PASIR MAS: Seorang suri rumah buntu memikirkan masa depan keluarga selepas suami yang menjadi tulang belakang keluarga hilang tangan kanan dalam kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang kayu di Batu Karang, di sini, minggu lalu.

Nur Syafawati Roslan, 29, berkata dalam kejadian 27 Jun lalu, suaminya, Muhammad Aidi Ilham Mohd Sakri, 30, cedera parah apabila tangan kanan putus sehingga paras lengan selepas tersangkut pada mesin habuk kayu ketika sedang bekerja.

"Sejurus kejadian itu, suami dibawa ke Hospital Tanah Merah dan dirawat selama lima hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Apa yang meruntun hati ialah apabila doktor memaklumkan kecederaan yang dialami terlalu parah.

"Tangan kanan suami yang putus itu tidak lagi dapat disambung semula," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Chasi ketika dikunjungi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar.

Menurut Nur Syafawati, kehilangan upaya suaminya bukan sahaja mengubah kehidupan mereka, malah menyebabkan keluarga hilang sumber pendapatan utama untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya, suami bekerja di kilang kayu dengan pendapatan sekitar RM68 sehari yang digunakan bagi menampung keperluan mereka sekeluarga termasuk tiga cahaya mata berusia antara setahun empat bulan hingga lima tahun, dengan dua di prasekolah.

"Sejak kejadian itu, kami langsung tidak mempunyai punca pendapatan. Buat masa ini hanya bergantung pada ahli keluarga dan insan yang sudi menghulurkan bantuan.

"Suami masih dalam keadaan terkejut, trauma dengan kejadian menimpanya, selain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan fizikal yang baharu. Saya hanya berharap dia diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan walaupun berdepan dugaan sangat besar ini.

"Pada masa sama, dia sering memikirkan bagaimana hendak kembali bekerja kerana masih perlu menyara keluarga dan mencari pekerjaan yang sesuai dengan keadaan fizikalnya," katanya.

Mereka berharap permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat dipercepatkan bagi meringankan beban keluarga.

"Saya sentiasa mendoakan agar suami kembali pulih dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah," katanya yang boleh dihubungi di talian 011-5134 2114.

Video Terkini

Berita Berkaitan