ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke istiadat perbarisan kehormatan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-84 di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. Istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kawalan kehormatan utama terdiri tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Rejimen, diketuai Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
Pegawai pembawa panji-panji ialah Leftenan Mohamad Aiman Hanif Samsudin, manakala Sarjan Mejar Rejimen Kawalan ialah Pegawai Waran I Mohd Fairuz Ramli.
Perbarisan itu diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dengan bantuan Sarjan Mohd Shahrilaizad Bakhtiar.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan acara terbang lintas hormat membabitkan dua pesawat EC120B dari INSPEN 2 yang diketuai Mejar Muhammad Hijaz Kamarudin serta tiga pesawat PC-7 Mark II dari INSPEN 1 yang diketuai Mejar Mohd Zakwan Mohd Radzi.
Istiadat itu turut disemarakkan dengan 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Hafizan Md Ghani dari Kem Sungai Buluh, Selangor.
















