KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dijangka memperkenalkan mekanisme baharu urusan audit dan memperketat pelaporan kewangan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan kerangka kawal selia pertubuhan berdaftar, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif berkenaan yang bertujuan mengekang penyelewengan dana awam antara yang dilihat RoS mampu menangani isu terbabit, selain menimbang mewajibkan audit bebas ke atas mana-mana NGO yang memperoleh dana awam dalam jumlah besar.
Dengan kes penyelewengan derma yang semakin membimbangkan, RoS sedang meneliti pelbagai keperluan untuk memastikan pengurusan kutipan sumbangan orang ramai oleh pertubuhan berdaftar dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mematuhi undang-undang.
Jabatan berkenaan turut mempertimbang pembaharuan lebih menyeluruh dan tegas dalam penambahbaikan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), termasuk mewajibkan pelaksanaan audit bebas ke atas mana-mana NGO yang memperoleh dana awam dalam jumlah besar.
Ketika menjelaskan perkembangan itu kepada BH, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata keperluan untuk menambah baik kerangka kawal selia pertubuhan berdaftar sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memastikan tadbir urus pertubuhan kekal telus, berintegriti dan berakauntabiliti, malah bertujuan mengelakkan penyelewengan dana, memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pertubuhan berdaftar.
"RoS sentiasa meneliti keperluan menambah baik kerangka kawal selia pertubuhan berdaftar dari semasa ke semasa, termasuk cadangan berkaitan pengukuhan pelaporan kewangan dan mekanisme audit yang bersesuaian," katanya.
Pada masa ini, Mohd Zulfikar berkata, pertubuhan berdaftar tertakluk kepada keperluan mengemukakan penyata kewangan tahunan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan pertubuhan.
"Sebarang cadangan untuk mewajibkan audit bebas bagi kategori pertubuhan tertentu, termasuk yang membabitkan kutipan dana awam pada skala tertentu boleh dipertimbang selepas ini dalam konteks pindaan undang-undang dan penambahbaikan dasar sedia ada," katanya.
Hukuman lebih beratÂ
Semalam, BH mendedahkan RoS sedang meminda Akta 832 bagi menambah baik kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar di negara ini.
Pindaan itu akan turut membabitkan hukuman lebih berat terhadap jenayah penyelewengan dana berikutan wujud beberapa kes sedemikian akhir-akhir ini seperti yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sejak beberapa bulan lalu, BH mendedahkan NGO yang mengutip sumbangan awam terdedah kepada jenayah penyelewengan dana yang tersasar daripada matlamat sebenar, termasuk mengumpul kekayaan luar biasa dan membeli barangan mewah untuk kegunaan peribadi.
Perkembangan itu selari dengan siasatan SPRM terhadap pengurusan kanan pertubuhan tertentu yang kebanyakannya didapati menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi.

Tahun ini sahaja, pengurusan sekurang-kurangnya tujuh NGO yang terbabit mengutip dana awam seperti derma dan infak kebajikan dikesan menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi, terbaharu April lalu apabila NGO terkenal disyaki menyeleweng dana, termasuk daripada punca wang zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Mengikut akta sedia ada, tiada peruntukan khusus yang memperincikan kesalahan berkait kutipan dana yang dipercayai menjadi punca pengurusan sesetengah NGO mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan menyalah guna kutipan untuk kepentingan peribadi.
Mengikut Seksyen 53 akta berkenaan, penalti bagi kesalahan salah guna wang atau harta pertubuhan berdaftar hanya maksimum RM5,000 yang disifatkan RoS terlalu rendah.
Mengulas lanjut, Mohd Zulfikar mendedahkan, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah sebarang peruntukan Akta Pertubuhan 1966 sebenarnya akan hilang kelayakan memegang apa-apa jawatan dalam sesuatu pertubuhan berdaftar.
Peruntukan itu terkandung dalam Seksyen 9A(1)(a) Akta 832 bagi memastikan pengurusan pertubuhan dipastikan dikendalikan oleh individu berintegriti dan tiada rekod jenayah.
"Mengikut seksyen itu, seseorang hendaklah hilang kelayakan daripada menjadi dan tidak boleh menjadi atau terus menjadi pemegang jawatan, penasihat atau pekerja sesuatu pertubuhan berdaftar jika dia disabitkan atas apa-apa kesalahan terhadap Akta 832.
"Bagaimanapun, individu terbabit masih boleh menjadi ahli dalam mana-mana pertubuhan yang disertai," katanya.























