BH Online
Ringkasan Berita

'Kita tak bergaduh, tak bermanja' - Zahid Hamidi sahkan hubungan BN-PH sangat baik, profesional

KOTA TINGGI: “Kita tidak pernah bergaduh dan tidak pernah bermanja.”
'Kita tak bergaduh, tak bermanja' - Zahid Hamidi sahkan hubungan BN-PH sangat baik, profesional

Ahmad Zahid ketika bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program RISDA Agromajestic Johor 2026, hari ini. - FOTO BERNAMA

KOTA TINGGI: "Kita tidak pernah bergaduh dan tidak pernah bermanja."

Demikian gambaran diberikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hubungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu menyifatkan hubungan mereka kekal profesional meskipun kedua-dua pihak berentap di gelanggang sama untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahmad Zahid berkata, kedua-dua gabungan itu membezakan tanggungjawab sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, dengan persaingan politik pada peringkat negeri.

"Saya ingin mengesahkan (hubungan BN-PH) sangat baik dan kita amat profesional.

"Kita membezakan isu-isu peringkat nasional yang harus ditangani bersama sebagai anggota Jemaah Menteri, dengan isu lain pada peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Agromajestic Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara di sini, hari ini.

Presiden UMNO itu mengulas keadaan hubungan BN dengan PH pada PRN Johor berikutan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) didakwa turut dijadikan bahan kempen.

Menjelaskan lanjut, Ahmad Zahid berkata, pendekatan profesional itu diterjemahkan menerusi kempen yang mengutamakan politik matang tanpa serangan peribadi walaupun BN dan PH bertembung di kerusi DUN.

"Antaranya, kita tidak 'attack' (menyerang) satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang Johor dan akan ke Negeri Sembilan.

"Jika ada yang tersasar daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan itu.

"Yang penting, demokrasi ini harus diterjemahkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata, kempen pilihan raya harus tertumpu kepada usaha menyelesaikan isu rakyat serta mengetengahkan kelebihan calon masing-masing, dan bukan menjatuhkan kredibiliti pihak lawan.

"Kita berkempen secara sopan. Kita menyantuni, mendepani isu dan menangani permasalahan. Itu lebih baik.

"Kemenangan seseorang calon itu bukan kerana serangannya yang hebat tetapi kerana calon baik yang dikemukakan.

"Kita harus mempromosikan calon masing-masing seperti di (DUN) Panti dan Pasir Raja, bukan kita menghentam parti lain atau calon lain. Itu bukan cara UMNO dan BN," katanya.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, didakwa menggunakan isu JS-SEZ sebagai bahan kempen pada PRN kali ini adalah tidak wajar.

Anwar dipetik memaklumkan projek itu adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan yang masih melalui proses antara Kerajaan Malaysia dengan Singapura, dan menegaskan ia tidak sepatutnya dijadikan modal politik ketika kempen kerana pelaksanaannya turut dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Onn Hafiz dalam satu kenyataan pada pagi tadi, menegaskan tidak wajar timbul gambaran bahawa Dokumen Pelan Induk JS-SEZ masih memerlukan persetujuan Kerajaan Singapura sebelum boleh dilancarkan.

Menteri Besar Johor itu menjelaskan, pelan induk berkenaan adalah dokumen milik Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus serta maklum balas daripada republik itu, yang menurutnya telahpun selesai.

"Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia.

"Sebab itu saya berpandangan apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders Retreat dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua-dua negara, kenyataan itu tidak tepat serta mengelirukan rakyat," kata Onn Hafiz.

Video Terkini

Berita Berkaitan