KOTA TINGGI: Peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan ekonomi lebih seimbang, kemudahan awam lebih baik dan pelaksanaan manifesto realistik antara harapan utama rakyat Johor menjelang pembentukan kerajaan negeri baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Tinjauan BH mendapati, rata-rata pengundi yang ditemui berharap segala janji dan tawaran diumumkan parti bertanding tidak sekadar menjadi manifesto di atas kertas, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan muda, peniaga kecil dan penduduk luar bandar.
Pensyarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Batu Pahat, Muhamad Ikmal Zaini, 24, berkata kerajaan yang bakal mentadbir Johor perlu memberi perhatian terhadap pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara Johor Utara dan Johor Selatan.
Beliau yang berasal dari Muar berkata, limpahan pembangunan ketika ini dilihat lebih tertumpu di Johor Selatan berbanding kawasan seperti Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.
"Dari segi ekonomi, saya berharap kerajaan selepas ini dapat mengimbangkan pembangunan antara Johor Utara dan Johor Selatan. Jika dilihat sekarang, Johor Selatan menerima lebih banyak limpahan ekonomi berbanding Johor Utara yang merangkumi kawasan Muar, Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.
"Penduduk di Johor Utara kurang menikmati manfaat pembangunan ekonomi negeri sehingga ramai terpaksa mencari pekerjaan di luar kawasan," katanya kepada BH.
Beliau turut berharap kebajikan golongan muda diberikan perhatian lebih menyeluruh, selain program pembangunan belia seperti Southern Volunteers diperluaskan ke seluruh negeri.
Sementara itu, pesara guru dari Benut, Pontian, Md Razip Laitang, 65, berkata manifesto yang ditawarkan perlu bersifat realistik dan mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pentadbiran.
Katanya, peluang pekerjaan, pendidikan dan perumahan adalah tiga perkara asas yang perlu diberikan keutamaan oleh mana-mana kerajaan.
"Perkara paling penting ialah memastikan segala manifesto yang dijanjikan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. Pada saya, manifesto perlu bersifat realistik, munasabah dan boleh dilaksanakan, bukannya sekadar janji untuk meraih sokongan.
"Saya berharap agar Johor terus kekal sebagai negeri yang aman, stabil dan harmoni demi menjamin masa depan generasi akan datang," katanya.
Bagi peniaga Pasar Awam Kota Jaya, K Baskaran, 66, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah penyediaan lebih banyak kemudahan kerajaan di Kota Tinggi.
Katanya, penduduk daerah itu masih terpaksa ke Johor Bahru untuk menyelesaikan pelbagai urusan kerajaan kerana ketiadaan kemudahan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa agensi lain.
"Jika ada UTC, banyak urusan kerajaan boleh diselesaikan di satu tempat seperti imigresen, urusan pasport dan perkhidmatan lain.
"Pada masa ini, penduduk masih perlu ke Johor Bahru dan kadangkala berdepan kesukaran apabila kuota harian di pejabat kerajaan telah penuh," katanya.
Sementara itu, pekerja swasta dari Pontian, Nurshuhada Hassim, 27, pula berharap kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi mengelakkan anak Johor berhijrah ke negeri lain atau ke Singapura.
Beliau juga mahu potensi pelancongan dan warisan sejarah negeri diperkasakan sebagai pemangkin ekonomi setempat.
"Saya berharap kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan supaya anak-anak Johor tidak perlu berhijrah ke negeri lain atau ke Singapura untuk mencari rezeki.
"Saya juga berharap warisan sejarah yang terdapat di Johor dapat dipelihara dan dipulihara dengan lebih baik kerana ia berpotensi menjadi produk pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung ke Johor," katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Pelajar Sarjana Sains dari Universiti Sains Malaysia (USM), Farid Samsudin, 35, yang berasal dari Ayer Hitam.
Beliau berkata, usaha mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda perlu disokong, namun pelaksanaannya mesti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
"Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan dan bagaimana kerajaan yang dipilih mampu merealisasikan perancangan tersebut.
"Justeru, peluang pekerjaan yang diwujudkan perlu mengambil kira profil dan kelayakan penduduk di sesuatu kawasan supaya lebih ramai anak muda dapat bekerja berhampiran tempat tinggal mereka sendiri," katanya.
Bagi peniaga sayur, Tan Meow Cheng, 67, kekurangan peluang pekerjaan menjadi antara punca utama penghijrahan golongan muda ke bandar besar, sekali gus menjejaskan ekonomi setempat.
Katanya, keadaan itu menyebabkan banyak kawasan didominasi warga emas, selain memberi kesan kepada kuasa beli penduduk dan pendapatan peniaga kecil.
"Apabila ramai golongan muda keluar, kuasa beli di kawasan ini turut menurun. Perbelanjaan harian semakin berkurangan dan kesannya dapat dilihat kepada peniaga kecil seperti kami yang bergantung kepada pelanggan tempatan.
"Saya berharap pihak berkuasa dan kerajaan dapat memberi perhatian kepada nasib peniaga kecil kerana keadaan sekarang memang sukar," katanya.
























