PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan surat sokongan yang sudah lama diwarisi sejak dulu untuk mendapatkan pembiayaan daripada agensi Bumiputera, menjadi antara punca kegagalan syarikat golongan itu di negara ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi amaran supaya budaya pemberian surat sokongan bagi mendapatkan pembiayaan dalam menubuhkan syarikat Bumiputera, dihentikan.
Sebaliknya, beliau berkata, agihan pembiayaan itu perlu diberikan kepada syarikat Bumiputera yang layak saja tanpa kompromi.
"Saya tidak peduli ketua cawangan ke, ketua bahagian ke, Yang Berbahagia ke... bagi surat apa, saya tidak mahu. Saya sudah beri amaran... ada keupayaan, kita bantu.
"Surat sokongan itu sudah lama menjadi cara hendak mereputkan agensi Bumiputera seperti yang kita warisi sejak dahulu.
"Mengapa kita bagi pinjaman? Sebab dia ada kaitan rapat dengan orang tertentu atau surat kuning, hijau dan biru. Ini masalah yang merosakkan kita. Akhirnya kita bantu, (tetapi) perniagaan itu lingkup kerana orang tidak komited," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini, hari ini.
SParK 2026 yang dilaksanakan sempena ulang tahun ke-35 PUNB, menghimpunkan rakan usahawan perbadanan itu, tokoh korporat, pemain industri bagi penganjuran persidangan, perkongsian ilmu, pameran perniagaan dan aktiviti jualan.
Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa berdasarkan laporan lama sebelum ini, wujud pihak yang memperoleh pembiayaan tetapi kemudian menjual lesen perniagaan mereka untuk mendapatkan komisen.
"Sama juga kita tahu ada laporan dulu yang bagi pinjaman, kemudian (digunakan) untuk pejabat yang indah, kenderaan dan isteri kedua.
"Jadi, kegiatannya ialah menjual lesennya dan mendapat komisen. Ia perlu dihentikan. Kita bicara Bumiputera, semua hendak popular tetapi tidak berani menegur ketempangan yang ada.
"Saya tahu ramai tidak senang dengan sergahan saya begini rupa tetapi ini adalah kenyataan. Berapa puluh bilion yang lingkup dalam penyelarasan saham Bumiputera?" katanya.
























