BH Online
Ringkasan Berita

Sekatan import udang Thailand kekal, penilaian ambil masa 30 hari

KOTA BHARU: Malaysia mengekalkan sekatan import lima spesies udang akuakultur dari Thailand bagi membolehkan pasukan teknikal Jabatan Perikanan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap maklumat dikemukakan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kawalan penyakit dipatuhi.
Sekatan import udang Thailand kekal, penilaian ambil masa 30 hari

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain menyantuni usahawan yang menyertai Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP) & myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2026 Jabatan Perikanan Malaysia, hari ini. Foto Hazira Ahmad Zaidi/NSTP

KOTA BHARU: Malaysia mengekalkan sekatan import lima spesies udang akuakultur dari Thailand bagi membolehkan pasukan teknikal Jabatan Perikanan menjalankan penilaian menyeluruh terhadap maklumat dikemukakan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kawalan penyakit dipatuhi.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata penilaian berkenaan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 30 hari, tertakluk kepada kelengkapan maklumat yang diterima daripada pihak Thailand.

Beliau berkata, pasukan teknikal yang ditubuhkan Jabatan Perikanan dijadual bermesyuarat minggu hadapan bagi meneliti maklumat fasa kedua yang diterima sebelum memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai tahap pematuhan negara itu.

"Setakat ini, Malaysia masih mengekalkan sekatan import udang dari Thailand sementara proses penilaian fasa kedua sedang dijalankan terhadap maklumat yang dikemukakan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Penilaian ini bertujuan memastikan semua keperluan berkaitan biosekuriti, kawalan penyakit serta pematuhan terhadap standard keselamatan makanan dipenuhi sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2026, di sini hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Malaysia memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (Certificate of Analysis, CoA) bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang.

Sekatan sementara itu membabitkan spesies Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang kaki merah/putih), Penaeus vannamei (udang putih), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).

Mengulas lanjut, Adnan berkata, sekatan import lima spesies udang akuakultur dari Thailand mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu apabila negara menghentikan pengeluaran permit import bagi produk berkenaan.

"Langkah ini bukan bertujuan menghalang perdagangan, sebaliknya untuk menstruktur semula aktiviti akuakultur negara agar aspek biosekuriti serta pematuhan terhadap standard sanitari dan fitosanitari (SPS) dapat diperkukuh dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata, antara faktor utama sekatan itu adalah bagi memastikan semua udang yang diimport ke negara ini bebas daripada sebarang penyakit yang boleh mengancam industri akuakultur tempatan, selain memastikannya tidak mengandungi sebarang residu atau bahan kimia terlarang yang melanggar peraturan serta piawaian keselamatan makanan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia turut berdepan situasi sama apabila eksport udang tempatan ke Thailand disekat sejak 2017.

Sehubungan itu, kerajaan kini memperkemaskan sistem kawalan domestik bagi memastikan udang Malaysia memenuhi piawaian kesihatan dan keselamatan makanan, sekali gus membuka laluan untuk eksport semula ke Thailand.

Video Terkini

Berita Berkaitan