BH Online
Ringkasan Berita

PM rasmi SParK 2026, PUNB sasar pembiayaan RM2.25 bilion bagi 2026-2030

PUTRAJAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan kelulusan pembiayaan mencecah RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
PM rasmi SParK 2026, PUNB sasar pembiayaan RM2.25 bilion bagi 2026-2030

Anwar menyempurnakan Majlis Perasmian SParK 2026 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/AHMAD UKASYAH

PUTRAJAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan kelulusan pembiayaan mencecah RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Sasaran bertujuan mempercepatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera itu adalah sebahagian hala tuju jangka panjang bawah Kerangka Strategik R30.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan prestasi PUNB sebagai baik, malah merupakan antara agensi paling ke hadapan dalam melaksanakan penumpuan terhadap program pembangunan Bumiputera.

Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia meningkatkan pembiayaan kepada PUNB dalam usaha melaksanakan program pembangunan usahawan Bumiputera.

"Prestasi mereka baik dan kita akan tingkatkan (pembiayaan)... mereka ke depan serta antara agensi yang melaksanakan penumpuan kepada keutamaan yang kita jelaskan dengan kerjasama agensi lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga sempena ulang tahun ke-35 PUNB di sini, hari ini, yang menghimpunkan rakan usahawan perbadanan itu, tokoh korporat, pemain industri bagi penganjuran persidangan, perkongsian ilmu, pameran perniagaan dan aktiviti jualan.

Program dua hari itu memberi ruang kepada usahawan untuk mendapatkan pandangan industri, membina jaringan strategik, memperkenalkan produk, dan meneroka peluang baharu dalam ekosistem perniagaan yang semakin kompetitif.

Sementara itu, PUNB memaklumkan selain mempercepatkan pertumbuhan syarikat Bumiputera, sasaran berkenaan juga bertujuan meningkatkan keupayaan skala komersial, mencipta peluang pekerjaan berkualiti, serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara.

Menurutnya, ia akan digerakkan melalui kemudahan pembiayaan sedia ada termasuk PROSPER GROW, PROSPER GREAT serta PROSPER IMPACT/NOVA, di samping penambahbaikan program lebih bersasar mengikut keperluan sebenar usahawan.

Dalam usaha membantu usahawan mendepani cabaran kos operasi, keperluan modal kerja dan persaingan pasaran, katanya, PUNB turut menurunkan kadar pembiayaan PROSPER GROW kepada serendah 3.5 peratus setahun.

"PUNB juga memperkenalkan tiga program khas baharu, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ, bagi memudahkan akses pembiayaan, memperkukuh modal kerja serta menyokong sektor perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan," katanya.

Menurut PUNB lagi, sejak ditubuhkan pada 1991, perbadanan itu berjaya membantu membangunkan lebih 15,500 Rakan Usahawan menerusi pelbagai program pembiayaan serta sokongan perniagaan.

Katanya, jumlah pembiayaan yang diluluskan pula mencecah RM5.15 bilion meliputi pelbagai sektor perniagaan Bumiputera.

Video Terkini

Berita Berkaitan