BH Online
Ringkasan Berita

Berguling lepas kemalangan: Pemandu Myvi berkelakuan pelik ada rekod rawatan psikiatri

JOHOR BAHRU: Kelakuan pelik seorang pemandu kereta selepas terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam menarik perhatian ramai.
Berguling lepas kemalangan: Pemandu Myvi berkelakuan pelik ada rekod rawatan psikiatri

Pemandu Myvi berkelakuan pelik selepas terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam. Fototular

JOHOR BAHRU: Kelakuan pelik seorang pemandu kereta selepas terbabit kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, semalam menarik perhatian ramai.

Lelaki berkenaan bukan saja berlari dan berpusing di sekeliling keretanya malah berguling serta terbaring di tepi laluan, dalam kejadian jam 8.30 pagi di Jalan Lingkaran Dalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, siasatan awal mendapati sebuah Proton X90 dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jurutera dalam perjalanan dari Larkin menghala ke Johor Bahru Sentral.

Beliau berkata, ketika kenderaan itu bergerak perlahan untuk membuat pusingan U di Jalan Lingkaran Dalam, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan berusia 25 tahun dari arah belakang merempuh kenderaannya.

Katanya, kedua-dua pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya membabitkan kerosakan pada kenderaan masing-masing.

"Ketika berada di lokasi kejadian, pemandu Perodua Myvi didapati bertindak agresif serta berbaring di atas jalan.

"Pemandu terbabit kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu Proton X90 tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan" katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diberikan oleh waris pemandu Perodua Myvi, individu itu mempunyai rekod rawatan psikiatrik di Klinik Psikiatri Hospital Kluang.

"Semakan dengan pihak klinik mengesahkan bahawa pemandu terbabit menerima rawatan di sejak April 2025 sehingga kini.

"Siasatan dijalankan mengikut Rule 10 ln 166/59 iaitu gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

"Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tampil ke IPD Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau menghubungi polis di talian 07-2221722 bagi membantu siasatan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan