JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor menahan 80 warga asing menerusi serbuan di dua kilang di Kawasan Perindustrian Larkin, di sini, semalam.
Pengarah Imigresennya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata, Ops Mahir dijalankan pada jam 9 pagi di kilang komponen jam dan kilang pengeluar makanan ringan popular yang menghasilkan produk seperti kek lapis, biskut dan konfeksi coklat.
"Serbuan ini membongkar penggunaan pekerja asing tanpa pas yang sah, apabila seramai 80 warga asing ditahan.
"Mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya menerusi siaran media hari ini.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada lima lelaki dewasa warga Pakistan, 16 lelaki dewasa Bangladesh, sembilan lelaki dewasa Indonesia, enam lelaki dewasa Myanmar, 13 wanita Indonesia dan 31 wanita dewasa Myanmar.
Beliau berkata, turut ditahan seorang warga tempatan yang juga pegawai sumber manusia kilang itu dan semua ditahan berusia antara 19 tahun 48 tahun.
"Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Serbuan ini adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, operasi membabitkan sepasukan pegawai Penguat Kuasa Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dengan bantuan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
























