KUALA NERUS: "Arwah sempat selamatkan semua penumpang dulu... mungkin sebab terlalu letih, dia akhirnya hilang tenaga." kata Ahmad Firdaus Mohmad Jalil, 41, mengenang detik terakhir adiknya, Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37, yang meninggal dunia dalam kejadian bot membawa pencandat sotong karam di perairan Kuala Nerus, malam tadi.
Ahmad Firdaus berkata, arwah adiknya yang masih bujang bekerja sebagai juruelektrik dan melakukan kerja sambilan sebagai pembantu tekong sejak kira-kira dua tahun lalu bagi menambah pendapatan.
Beliau tidak menyangka tragedi itu akan meragut nyawa adiknya kerana tiada sebarang perubahan ditunjukkan arwah sebelum keluar bekerja.
"Saya mendapat tahu mengenai kejadian kira-kira jam 10 malam dan terus bergegas ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Batin.
"Saya sempat melihat arwah sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital. Saya diberitahu adik membantu semua penumpang terlebih dahulu sebelum dipercayai keletihan dan hilang tenaga.
"Saya sendiri juga meminati aktiviti mencandat sotong, jadi saya faham keadaan yang berlaku ketika bot karam.
"Dalam situasi kelam-kabut, memang sukar untuk berhubung, tambahan pula telefon bimbit arwah hilang," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), hari ini.
Beliau berkata, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng selepas solat Zuhur, manakala solat jenazah diadakan di Masjid Bukit Tok Beng, di sini.
Dalam kejadian 8.40 malam tadi, Ahmad Nasaruddin maut manakala 11 lagi mangsa berjaya diselamatkan selepas bot membawa 12 individu terdiri daripada 10 pelanggan, seorang tekong dan seorang pembantu tekong karam kira-kira lima batu nautika dari perairan Kuala Nerus.
Mangsa dilaporkan sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mencari bot berhampiran mendapatkan bantuan, namun bot itu akhirnya karam.
Semua mangsa memakai jaket keselamatan dan terapung di permukaan laut selama kira-kira sejam sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tiga mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Daripada jumlah itu, dua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang, manakala seorang lagi masih menerima rawatan susulan," katanya.
Lagi berita berkaitan:
'Arwah banyak berkorban, tak fikir soal kahwin demi urus mak ayah uzur' - Abang Ahmad Nasaruddin'Pegang abang ni jangan lepaskan, saya nak berenang cari bantuan' - tekong botBot candat karam: Dia meninggal ketika berpaut di belakang saya - TekongKru maut, tiga cedera bot candat sotong karam
























