KUALA LUMPUR: Penganjuran liga bola sepak membabitkan etnik Rohingya yang menawarkan hadiah wang sehingga puluhan ribu ringgit membuktikan bahawa komuniti itu membina kekayaan di negara ini.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain, berkata ramai dalam kalangan komuniti Rohingya bekerja dan berniaga sehingga berjaya meraih wang yang banyak.
"Komuniti Rohingya di negara ini amat besar dengan lebih 100,000 orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Saya percaya ada lebih ribuan lagi etnik itu di Malaysia tanpa dokumen.
"Ramai antara mereka yang bekerja dan berniaga sehingga menjadi pembekal. Ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan sehingga menjadi 'besar kepala' di negara ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohd Sophian berkata, langkah drastik perlu diambil bagi mengekang komuniti itu daripada bermaharajalela di negara ini dan mengaut keuntungan dari segi ekonomi.
"Kerajaan perlu mengehadkan pergerakan komuniti itu dengan meletakkan mereka di satu lokasi khusus seperti dilaksanakan di negara lain.
"Di Malaysia, mereka bebas untuk ke mana-mana sekali gus menjalankan aktiviti ekonomi termasuk berniaga dan mengaut keuntungan sehingga ribuan ringgit," katanya.
Beliau berkata, kehadiran Rohingya secara bebas dalam masyarakat boleh mengancam keselamatan penduduk tempatan.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak untuk menafikan kehadiran komuniti Rohingya dalam masyarakat kerana mereka dilihat mengancam keselamatan penduduk tempatan.
"Justeru itu, kerajaan perlu ambil langkah drastik segera dengan memindahkan mereka di kawasan khusus supaya komuniti ini tidak menjadi 'barah' kepada negara," katanya.
Sebelum ini, satu poster memaparkan penganjuran liga bola sepak etnik Rohingya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tular di media sosial.
Apa yang menarik perhatian adalah hadiah ditawarkan bagi pemenang pertandingan itu berjumlah RM20,000 bagi johan, RM10,000 (naib johan) dan RM5,000 (tempat ketiga).
























