KUALA LUMPUR: Beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant, di sini ditutup sementara bermula Isnin ini hingga 31 Januari 2027 bagi memberi laluan kepada kerja pemasangan paip bawah tanah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ia membabitkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House, selain laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf berhampiran Kedutaan Iraq.
Selain itu, Jalan Langgak Golf turut dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak sepanjang tempoh berkenaan.
Pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Razak yang ingin ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf hendaklah menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.
Selain itu, pengguna jalan raya dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak hendaklah menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar.
Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan trafik, digalak menggunakan laluan ditetapkan mengikut pelan pengurusan trafik dan memandu berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan.
"Kerjasama dan kesabaran semua pengguna jalan raya amat dihargai bagi memastikan pelaksanaan projek ini dapat disempurnakan dengan lancar, selamat dan mengikut jadual.
"Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pihak berkaitan di talian 012-264 2310," menurut kenyataan berkenaan.
























