KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) akan menjadikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai 'test case' bagi menilai keberkesanan strategi bertanding secara solo menjelang pilihan raya di negeri lain dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata kepemimpinan BN tidak akan membuat keputusan terburu-buru berhubung strategi pilihan raya, sebaliknya akan menilai semua faktor berdasarkan keputusan PRN Johor.
"Saya yakin kepemimpinan BN akan membuat keputusan dari semasa ke semasa mengikut keadaan tetapi Johor adalah satu 'test case' yang unik sebab kita dapat bertanding solo di sini.
"Selepas ini kita akan buat 'post-mortem'. Menang atau kalah, menang besar atau menang sikit, kita akan buat 'post-mortem' apakah kelebihan apabila kita pergi solo (atau) apa mungkin ada kelemahan kalau kita pergi solo.
"Jadi ini adalah satu medan ujian yang cukup baik untuk PRN akan datang dan PRU," katanya pada sidang media selepas program Santai Petang Bersama KJ, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, kemenangan di Johor juga penting untuk membuktikan BN mampu mentadbir secara solo tanpa perlu bergantung kepada gabungan parti lain.
Beliau berkata, walaupun kerjasama politik bukan satu masalah, pentadbiran secara solo membolehkan proses membuat keputusan dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan, sekali gus mewujudkan kerajaan yang lebih stabil.
"BN pun tak perfect (sempurna) ya. Dulu kita kalah, kita pun sudah dihukum rakyat. Tetapi selepas hampir lapan tahun kita berada sekejap luar, sekejap dalam tetapi tidak menerajui kerajaan, saya rasa kita pun sudah ada masa untuk menginsafi.
"Ada masa untuk buat introspection (menilai semula), pandang ke dalam apa kelemahan kita dan kita sudah bersedia untuk menawarkan sesuatu untuk rakyat. Tetapi itu kemudian, biarlah kita menang di Johor dahulu," katanya.
Khairy berkata, sekiranya kemenangan menjadi milik BN di Johor juga akan menjadi pencetus kepada gelombang biru yang lebih besar sebelum dibawa ke Negeri Sembilan dan Melaka.
"Bermula daripada bumi Panti (Dewan Undangan Negeri Panti) ini, kita cetuskan gelombang biru yang besar di negeri Johor.
"Insya-Allah, jika diberi kemenangan pada PRN Johor, kita akan menubuhkan semula kerajaan BN di negeri ini sebelum membawa gelombang itu ke Negeri Sembilan dan juga seterusnya Melaka," katanya.
























