PUTRAJAYA: Walaupun kerajaan menyediakan lebih RM5 bilion dana pembiayaan mikro menerusi pelbagai agensi kewangan, tahap kesedaran peniaga kecil terhadap kemudahan itu masih rendah, sekali gus mengehadkan peluang mengembangkan perniagaan.
Dana pembiayaan mikro itu disediakan menerusi beberapa agensi utama, termasuk Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Justeru, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, berkata kerajaan kini mempergiat usaha turun padang bersama agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran usahawan mikro mengenai pelbagai skim pembiayaan yang disediakan.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu membabitkan semua agensi berkaitan dilaksanakan bagi memudahkan usahawan memperoleh maklumat serta akses kepada pembiayaan yang ditawarkan.
"Pasar Tani Putrajaya mempunyai lebih 124 lot perniagaan dan sebahagian besar peniaga di sini telah menerima pembiayaan daripada agensi kerajaan. Kita mahu usaha ini digandakan supaya lebih ramai usahawan yang layak dapat memanfaatkan kemudahan terbabit," katanya.
Beliau yang ditemui media ketika melawat Pasar Tani Putrajaya semalam, berkata hasil tinjauan mendapati ramai peniaga telah lama memanfaatkan kemudahan pembiayaan kerajaan, malah ada yang menjadi pelanggan lebih 10 tahun dan menerima pembiayaan sehingga 26 kali.
Katanya, keadaan itu membuktikan skim pembiayaan yang disediakan benar-benar memberi impak kepada perkembangan perniagaan usahawan kecil.
"Justeru, kita menggalakkan usahawan yang belum pernah memohon supaya mendapatkan maklumat dan bertanya sendiri kepada penerima manfaat mengenai pengalaman mereka," katanya.
Antara kelebihan utama pembiayaan yang ditawarkan kerajaan ialah kadar keuntungan serendah empat peratus, selain proses permohonan yang lebih mesra usahawan mikro berbanding institusi kewangan komersial.
"Agensi seperti Agrobank, BSN dan Bank Rakyat lebih memahami keperluan usahawan kecil kerana mereka berperanan sebagai institusi kewangan pembangunan," katanya.
























