KUALA NERUS: Kegembiraan sekumpulan pemuda menyertai aktiviti mencandat sotong bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam kira-kira lima batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, di sini, mengorbankan seorang pembantu tekong.
Dalam kejadian jam 8.40 malam, pembantu tekong maut manakala 11 lagi selamat.
Difahamkan, kejadian dikatakan berlaku selepas sebahagian bot pecah menyebabkan air memasuki bot sebelum ia karam.
Ketika kejadian, semua mangsa termasuk lapan lelaki dan dua wanita dari Kuala Lumpur memakai jaket keselamatan.
Mereka dilaporkan terapung di laut kira-kira sejam sebelum diselamatkan pasukan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Seberang Takir sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Gong Badak untuk bedah siasat.
Sementara itu Tekong, Mohd Uwais berkata mereka bertolak dari Jeti Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, pada jam 5.30 petang semalam menuju ke perairan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi mencandat sotong.
Katanya, mangsa yang maut adalah sepupunya yang bekerja dalam bidang pendawaian elektrik.
"Dia meninggal dunia di belakang saya. Saya tahu dia tidak pandai berenang, jadi saya menyuruhnya naik ke belakang sambil berpaut pada leher saya.
"Ketika dia berpaut, saya dapat rasakan tangannya semakin lemah. Apabila saya menoleh ke belakang, saya nampak mulutnya berbuih dan sempat memeriksa nadinya.
"Saya percaya dia kemungkinan lemas selepas air memasuki hidung dan mulutnya akibat dihempas ombak," katanya.
Lagi berita berkaitan:
'Arwah banyak berkorban, tak fikir soal kahwin demi urus mak ayah uzur' - Abang Ahmad Nasaruddin'Arwah sempat selamatkan semua penumpang, akhirnya keletihan dan hilang tenaga' - Abang mangsa'Pegang abang ni jangan lepaskan, saya nak berenang cari bantuan' - tekong botKru maut, tiga cedera bot candat sotong karam
























