BH Online
Ringkasan Berita

RoS pinda Akta 832 tambah baik kawal selia kutipan dana

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang meminda Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menambah baik kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar di negara ini.
RoS pinda Akta 832 tambah baik kawal selia kutipan dana

- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang meminda Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menambah baik kawal selia terhadap kegiatan kutipan dana oleh pertubuhan berdaftar di negara ini.

Pindaan itu akan turut membabitkan hukuman lebih berat terhadap perbuatan penyelewengan dana berikutan wujud beberapa kes seumpama itu sejak akhir-akhir ini seperti yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut akta sedia ada, tiada peruntukan khusus yang memperincikan kesalahan berkaitan kutipan dana yang dipercayai menjadi punca sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan menyalahguna kutipan untuk kepentingan peribadi.

Mengikut Seksyen 53 akta berkenaan, penalti bagi kesalahan salah guna wang atau harta pertubuhan berdaftar, hanya maksimum RM5,000 yang disifatkan RoS terlalu rendah.

Ketua Pengarah Pendaftaran Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad memberitahu BH, ini sekali gus membuka ruang kepada pihak tertentu termasuk NGO mengambil kesempatan menyeleweng dana berbanding digunakan untuk tujuan asal.

Katanya, ia juga antara isu yang dikesan dalam siasatan pihaknya ke atas beberapa NGO yang melakukan kesalahan itu sebelum ini.

Antara isu yang dikenal pasti melalui hasil siasatan RoS terhadap beberapa NGO yang dikaitkan sebelum ini, adalah berkaitan pengurusan serta penggunaan kutipan dana.

Ia termasuk pematuhan terhadap tatacara kewangan dan tadbir urus organisasi, yang memerlukan perhatian berterusan bagi memastikan setiap kutipan dana dilaksanakan secara telus dan selaras dengan tujuan penubuhan pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata, pindaan berkenaan akan turut mengambil kira aspek tatacara dan kawal selia kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar.

"Melalui pindaan ini, perkara berkaitan tatacara kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar juga sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan berkenaan," katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, BH mendedahkan NGO yang mengutip dana hasil sumbangan orang ramai dikesan mempunyai potensi besar untuk menyeleweng daripada matlamat sebenar, termasuk ambil peluang mengumpul kekayaan luar biasa dan membeli pelbagai barangan mewah untuk kegunaan peribadi.

Situasi itu selari dengan siasatan SPRM terhadap pertubuhan yang didapati kebanyakannya menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi.

Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya tujuh NGO yang terbabit mengutip dana awam seperti derma dan infak kebajikan ditumpaskan SPRM kerana menyalah guna dana untuk kepentingan peribadi.

Ia termasuk pada April lalu, sebuah NGO terkenal disyaki menyeleweng dana termasuk daripada punca wang zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Sesi libat urus

Mohd Zulfikar berkata, RoS juga akan mengadakan libat urus dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan pandangan untuk menyediakan garis panduan khusus berhubung kegiatan kutipan dana.

"Garis panduan ini akan digunakan sebagai rujukan kepada pertubuhan bagi memastikan aspek ketelusan, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kutipan derma daripada orang ramai," katanya.

Pada masa ini, Akta 832 mewajibkan setiap pertubuhan menghantar laporan tahunan yang turut mengandungi penyata kewangan bagi diperiksa dan dipastikan teratur termasuk berkaitan pendapatan dan perbelanjaan.

Katanya, semakan berkala itu juga selaras dengan penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI) di bawah RoS, iaitu 80 peratus pertubuhan mesti diuruskan secara teratur.

"Jika terdapat ketidakpatuhan, ketidakselarasan maklumat atau aduan berkaitan pengurusan kewangan pertubuhan, perkara itu akan diambil tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan RoS," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan