KOTA TINGGI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 305 aduan membabitkan pelbagai kesalahan berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, setakat semalam.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata daripada jumlah itu, kesalahan paling banyak dikesan ialah pemasangan bahan kempen di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan sebanyak 140 kes.
"Ia diikuti pemasangan bahan kempen yang menghalang pandangan pengguna jalan raya serta lalu lintas membabitkan 90 kes, kempen dalam kawasan 50 meter dari pusat mengundi (27), dan kesalahan-kesalahan lain bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (48)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPR telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
Katanya, ia bagi memantau perjalanan kempen PRN kali ini dan menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.
"Tempoh berkempen bermula selepas hari penamaan calon pada 27 Jun lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam 10 Julai ini seperti yang ditetapkan SPR.
"SPR juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan dalam keadaan baik serta terkawal," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika serta arahan dikeluarkan SPR dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan kempen pilihan raya berlangsung dengan lancar.
"SPR amat komited melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil dan telus, serta berintegriti, termasuk sepanjang tempoh berkempen pilihan raya ini berlangsung," katanya.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
























