JOHOR BHARU: Pemimpin utama parti politik akan 'berkampung' di Johor hujung minggu ini, bagi menghadiri pelbagai siri kempen dan ceramah, menandakan bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hangat serta memasuki fasa lebih sengit menjelang hari pengundian Sabtu depan.
Kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Wisma SBBU, Bandar Baru Uda di sini malam esok, dijangka dinanti ribuan penyokongnya yang mahu mendengar sendiri amanat pemimpin utama PH itu.
Ini adalah kehadiran kali pertama Anwar yang juga Presiden PKR itu ke Johor untuk menyertai kempen PRN selepas hari penamaan calon Sabtu lalu.
Menariknya juga, kira-kira lapan kilometer dari lokasi ceramah PH di Wisma SBBU itu, satu lagi program ceramah turut dianjurkan Barisan Nasional (BN), yang akan menampilkan pula Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India (MIC) di Perling Mall, di sini.
PH kini dilihat pesaing kuat BN dalam misi masing-masing untuk mengejar penguasaan dan kemenangan di 56 kerusi DUN yang ditandingi mereka.
Bahagian selatan Johor yang memiliki corak pengundian agak dinamik dan berubah-ubah, menjadikan 11 kerusi DUN di sekitar bandar raya ini terus menjadi tumpuan, sekali gus rebutan kepada dua parti utama ini.
Kerusi DUN berkenaan ialah Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar serta Senai.
Pada PRN Johor 2022, BN menguasai lima kerusi DUN berkenaan, sementara selebihnya didominasi PH.
Sementara itu, saingan di utara Johor juga tidak kurang sengit, dengan jentera Perikatan Nasional (PN) juga mula menggandakan gerak kerjanya untuk mempertahan kerusi dimenangi mereka sebelum ini.
Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin dijadual memenuhi seharian aktiviti kempennya di DUN Bukit Kepong esok, selepas selesai berkempen di DUN Sedili dan Panti, semalam dan hari ini.
Awal minggu ini juga, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut turun padang, dengan lokasi tumpuan kempennya adalah di DUN Maharani serta DUN Sungai Balang, yang sememangnya menjadi sandaran parti itu untuk menang.
Mengakhiri minggu pertama kempen pada PRN Johor tengah malam ini, saingan sengit dapat dirasai di sebahagian besar kerusi DUN, dengan jangkaan parti mana akan menang masih sukar diramal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 11 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRN Johor ke-16, sementara hari mengundi awal akan diadakan pada Selasa depan.
Seramai 1,297,931 pemilih atau 47.6 peratus daripada keseluruhan 2,727,926 pengundi berdaftar di Johor kali ini adalah terdiri daripada kumpulan umur 18-39 tahun, sekaligus menyaksikan kelompok pengundi muda itu bakal menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti bertanding.
























