JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan manifesto dilancarkan Pakatan Harapan (PH) hari ini bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak menawarkan pembaharuan yang mampu menjadi game changer.
Malah, beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sebahagian besar tawaran dalam manifesto PH itu sudah dilaksanakan Kerajaan Johor sepanjang penggal pentadbiran lalu.
"Saya sudah meneliti dan mendapati sebahagian manifesto itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam penggal pentadbiran lalu.
"Kita menghormati apa yang mereka cadangkan tetapi Alhamdulillah, sebahagian daripada manifesto itu telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Johor.
"Tidak ada sesuatu baharu yang boleh menjadi satu game changer," katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Libat Urus Kepimpinan Bersama Ibu Bapa TABIKA KEMAS Bangsa Johor di Flat Perumahan Larkin Court 1, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan PH melancarkan manifesto 'Johor Untuk Semua', hari ini, sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena PRN Johor ke-16.
Antara teras utama manifesto itu ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan orang kurang upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpendapat perbandingan antara Johor dengan Selangor tidak seharusnya dijadikan bahan kempen kali ini.
Katanya, ini kerana setiap negeri mempunyai latar belakang dan kekuatan ekonomi yang berbeza.
Beliau menegaskan Johor memiliki rekod tersendiri, termasuk dari segi pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) serta hasil negeri.
"Tidak perlu melakukan perbandingan seperti itu kerana kita tidak boleh membandingkan epal dengan epal.
"Johor terlalu ke hadapan bukan saja dari segi FDI dan DDI tetapi juga daripada hasil yang diperoleh.
"Semangat untuk bersaing itu baik tetapi insya-Allah, bersainglah secara sihat," katanya.
























